HomeUtamaBas persiaran terbabas di Jalan Kimanis-Keningau, lima cedera parah

Bas persiaran terbabas di Jalan Kimanis-Keningau, lima cedera parah

Read Time:1 Minute, 27 Second

PAPAR: Seramai 21 penumpang sebuah bas persiaran terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.34 tengah hari itu, lima mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah, manakala 16 lagi mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 1.34 tengah hari sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan BBP Papar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, bas persiaran berkenaan membawa 21 penumpang dan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 1.58 tengah hari, didapati lima mangsa mengalami kecederaan parah dan tersepit di dalam bas, namun kesemuanya berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera dengan kerjasama pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, lima mangsa yang mengalami kecederaan parah terdiri daripada dua lelaki berusia 64 dan 71 tahun serta tiga wanita berusia 60, 61 dan 66 tahun.

Mereka dilaporkan mengalami kecederaan termasuk patah anggota badan serta kecederaan pada bahagian kepala, dada, muka dan bahu.

Kesemua mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, semua 21 mangsa merupakan warganegara Malaysia dan bas berkenaan dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Operasi menyelamat membabitkan enam anggota BBP Kimanis dan dua anggota BBP Papar dengan bantuan enam petugas KKM serta empat anggota polis.

Operasi dikawal pada jam 2.42 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.55 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.

RELATED ARTICLES
Utama

Rampasan produk kesihatan tidak sah bernilai RM500,000 terbesar di Sabah tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular