KOTA KINABALU: Seorang pekerja kantin sekolah yang membawa teman wanitanya yang masih bawah umur menginap di sebuah hotel dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan kerana merogol remaja berkenaan.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir @ Fisal menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Zarvoel Saidi, 32, menukar pengakuannya kepada bersalah ketika kes ditetapkan untuk perbicaraan hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan Zarvoel menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya, manakala hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 20 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, Zarvoel didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun 10 bulan, kira-kira jam 3 petang pada 10 Januari 2026 di sebuah hotel di Tuaran.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan keluarganya susah dan tidak berkemampuan.
Dia turut memohon supaya hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap bagi memberinya peluang membantu keluarga selepas dibebaskan, selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira usia mangsa yang masih merupakan kanak-kanak dan terdedah kepada manipulasi, pengaruh serta eksploitasi oleh orang dewasa.
Pendakwaan menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai pelanggaran serius terhadap kepercayaan dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh individu dewasa yang bekerja dalam persekitaran sekolah.



