KOTA KINABALU: Sektor korporat perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyokong usaha kerajaan membasmi kemiskinan di Sabah, khususnya dengan menyediakan peluang pekerjaan berkualiti serta membantu rakyat meningkatkan kemahiran dan mengekalkan pekerjaan.
Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau berkata, tanggungjawab membasmi kemiskinan bukan hanya terletak di bahu kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif sektor swasta bagi memastikan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan.
Beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan memerlukan, namun sektor korporat perlu turut menilai sumbangan masing-masing dalam melengkapkan usaha berkenaan.
“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, apakah yang telah dilakukan oleh sektor korporat dan bagaimana kita dapat melengkapkan keseluruhan usaha keusahawanan sosial yang turut menjadi tanggungjawab kita.
“Dalam pembentangan saya, saya menjelaskan bagaimana KTC boleh memainkan peranan menyokong usaha kerajaan menyediakan rakyat sebelum membantu mereka melangkah ke tahap seterusnya, termasuk memastikan mereka mampu mengekalkan pekerjaan dan tidak kembali ke tahap kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel sesi pleno Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dexter berkata, KTC sedang memperkukuh infrastruktur dan mengembangkan operasi perniagaannya dengan sasaran meningkatkan skala perniagaan kepada RM2 bilion hingga RM3 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Seiring perkembangan itu, syarikat berkenaan menyasarkan peningkatan jumlah tenaga kerjanya daripada 1,500 kepada 2,500 orang, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Menurutnya, usaha memastikan pekerja kekal kompetitif turut menjadi keutamaan syarikat menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi dan pengurusan organisasi.
Beliau berkata, sejak 1 Oktober lalu, KTC memulakan proses pendigitalan berasaskan AI di seluruh syarikat, termasuk mendokumentasikan pengalaman hampir 90 tahun yang diwarisi daripada tiga generasi serta rekod proses membuat keputusan perniagaan.
Inisiatif itu bertujuan memastikan pengetahuan dan pengalaman syarikat dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan serta daya saing tenaga kerja.
“Melalui pendekatan ini, semua pekerja berpeluang bersaing pada tahap yang sama tanpa mengira latar belakang atau asal usul mereka.
“Apa yang penting ialah keupayaan mengemukakan soalan yang tepat, kesungguhan untuk mencapai prestasi lebih baik, inisiatif sendiri dan sikap proaktif serta rajin bekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Dexter berkata, KTC turut menunjukkan komitmen terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan menerusi peningkatan penyertaan pekerja Bumiputera dalam syarikat berkenaan.
Katanya, kira-kira lima hingga enam tahun lalu, komposisi tenaga kerja KTC terdiri daripada 60 peratus bukan Bumiputera, sebelum syarikat menetapkan sasaran untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera kepada 60 peratus.
“Setakat ini, kita sudah mencapai 70 peratus pekerja Bumiputera dan pada masa sama syarikat terus berkembang dengan pesat.
“Ini membuktikan apabila rakyat diberikan peluang dan mereka sudah bersedia, mereka mampu menyumbang kepada pertumbuhan syarikat,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama berterusan antara kerajaan dan sektor korporat penting bagi memastikan rakyat bukan sahaja menerima bantuan, tetapi turut mempunyai peluang membina kehidupan ekonomi yang lebih stabil dan mampan.



