HomeUtamaKhianat guna api, lelaki dipenjara tiga tahun

Khianat guna api, lelaki dipenjara tiga tahun

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan api.

Basrie Amil, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Basrie bersama seorang individu didakwa dengan niat bersama melakukan khianat dengan api dengan melontarkan plastik yang sedang marak ke kawasan rumah seorang lelaki berusia 45 tahun sehingga menyebabkan kerosakan pada lantai rumah berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 4 pagi pada 28 Jun lalu di sebuah rumah di Taman Sri Kepayan, dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 425 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu terdengar bunyi bising anjing peliharaannya serta bunyi dentuman seperti objek dilemparkan ke kawasan rumahnya pada awal pagi kejadian.

Ketika membuat pemeriksaan, pengadu mendapati tiga bungkusan plastik yang sedang marak dengan api berada di dalam kawasan pagar rumahnya. Api berkenaan menyebabkan kerosakan pada lantai kawasan rumah tersebut.

Menurut seorang jiran yang menyaksikan kejadian, sebuah Proton Saga dilihat berhenti di kawasan rumah pengadu sebelum dua lelaki memakai topi keledar keluar dari kenderaan berkenaan.

Saksi itu turut melihat kedua-dua lelaki berkenaan membakar bekas plastik sebelum melontarkannya ke kawasan rumah pengadu.

Seorang lagi saksi, mendakwa melihat rakan tertuduh mengisi minyak ke dalam plastik sebelum membawanya ke rumah pengadu.

Dalam rayuannya, Basrie yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan mengambil kira dia mempunyai dua anak.

Dia turut memohon hukuman itu dijalankan serentak dengan hukuman bagi kes di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon hukuman berat dengan berhujah bahawa kesalahan itu dirancang lebih awal, termasuk menyewa kenderaan beberapa hari sebelum kejadian, menyediakan bahan mudah terbakar dan memakai topi keledar bagi menyembunyikan identiti.

Pendakwaan turut berhujah bahawa tindakan melontarkan tiga bungkusan plastik berisi bahan api yang sedang terbakar ke kawasan sebuah rumah pada jam 4 pagi mendatangkan risiko kebakaran tidak terkawal dan kehilangan nyawa ketika penghuni berkemungkinan sedang tidur.

RELATED ARTICLES
Utama

180 kontinjen dijangka sertai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular