HomeUtamaAncaman dadah sintetik ‘blackout’, ‘zombi’ perlu dibendung - Masiung

Ancaman dadah sintetik ‘blackout’, ‘zombi’ perlu dibendung – Masiung

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Selepas negara berdepan ancaman dadah ‘magic mushroom’ yang dikesan digunakan sebagai perisa rokok elektronik (vape), kini muncul pula ancaman bahan sintetik baharu dikenali sebagai ‘blackout’ atau ‘zombi’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun belum terdapat laporan mengenai kes membabitkan bahan berbahaya itu di Sabah, pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu terus memperketatkan pemantauan di semua pintu masuk ke negeri ini.

Beliau menggesa agensi keselamatan, khususnya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), mempertingkatkan kawalan fizikal dan logistik di semua pintu sempadan bagi membendung kemasukan bahan terlarang dari negara jiran.

“Mengikut laporan AADK, varian baharu dadah yang dilabelkan sebagai ‘blackout’ itu dilaporkan 100 kali lebih kuat daripada morfin. Dadah sintetik berkenaan juga dikenal pasti telah memasuki pasaran gelap di negara ini.

“Cecair terlarang itu bukan sahaja boleh dijadikan perisa vape, malah boleh dicampurkan ke dalam minuman atau makanan serta dititiskan pada batang rokok sebelum disedut,” katanya.

Sambil memetik laporan AADK, Masiung berkata, cecair ‘blackout’ atau ‘zombi’ dipercayai mengandungi dos berlebihan yang boleh menyebabkan pengguna mengalami keadaan terlalu khayal, pasif dan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, bahan berkenaan juga dilaporkan dicampurkan dengan ketamin serta bahan psikotropik yang berbahaya kepada tubuh manusia.

“Pengguna boleh hilang kewarasan dan pertimbangan, sekali gus menjejaskan sistem saraf otak serta fungsi fizikal badan.

“Kemasukan bahan terlarang itu ke negara ini boleh berlaku melalui pelbagai kaedah, termasuk pengangkutan laut dan udara,” katanya.

Masiung tidak menolak kemungkinan bahan terlarang itu diproses oleh sindiket antarabangsa atau tempatan untuk memenuhi permintaan pasaran gelap di negara ini.

Beliau berkata, sindiket terbabit berkemungkinan menggunakan pelbagai modus operandi, termasuk penghantaran melalui perkhidmatan pos laju serta aplikasi dalam talian bagi mengaburi pihak berkuasa.

RELATED ARTICLES
Utama

Jambatan sementara di Jalan Tun Fuad Stephen dibuka semula hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular