KOTA KINABALU: Jambatan sementara di KM 2.850 Jalan Tun Fuad Stephen yang menjadi laluan penting di ibu negeri akan dibuka semula kepada pengguna jalan raya bermula jam 12 tengah hari ini, pada Jumaat.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pemasangan jambatan sementara di lokasi berkenaan telah siap sepenuhnya dan kini selamat digunakan oleh orang ramai.
Menurut JKR Sabah, pembukaan semula jambatan itu dijangka membantu melancarkan aliran trafik serta memudahkan pergerakan pengguna yang sebelum ini terjejas akibat kerja-kerja pemasangan dan pembinaan infrastruktur sementara di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, beberapa sekatan telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna dan integriti struktur jambatan sementara itu.
Kenderaan berat seperti treler, lori kontena, bas persiaran serta mana-mana kenderaan yang melebihi berat lima tan dan mempunyai ketinggian melebihi 2.5 meter tidak dibenarkan melalui jambatan tersebut.
Pengguna kenderaan yang tidak memenuhi syarat ditetapkan diminta menggunakan laluan alternatif yang telah disediakan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesesakan lalu lintas.
JKR Sabah turut memaklumkan bahawa pemasangan palang had ketinggian akan dilaksanakan di lokasi berkenaan bagi mengawal kemasukan kenderaan yang melebihi had ketinggian yang dibenarkan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi papan tanda amaran, arahan lalu lintas serta peraturan yang dipasang di kawasan jambatan bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar.
JKR Sabah dalam kenyataannya turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin dialami oleh pengguna jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja berkaitan. – SABAH MEDIA



