HomeSukanSUKMA XXII : Olahraga Sabah akhiri cabaran dengan 15 pingat keseluruhan

SUKMA XXII : Olahraga Sabah akhiri cabaran dengan 15 pingat keseluruhan

Read Time:1 Minute, 57 Second

SHAH ALAM: Skuad olahraga Sabah menutup tirai saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila mengumpul 15 pingat keseluruhan selepas menambah satu pingat perak dan tiga gangsa pada hari terakhir pertandingan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Khamis.

Pencapaian itu melengkapkan kempen lima hari olahraga Sabah dengan kutipan empat pingat emas, tujuh perak dan empat gangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyumbang utama pingat kepada kontinjen negeri.

Pada hari terakhir saingan, tumpuan terarah kepada atlet muda Sabah, Nur Syifa Raisha Adnan Firdaus, yang mempamerkan larian cemerlang dalam acara 800 meter wanita.

Atlet berusia 16 tahun itu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 2 minit 19.46 saat untuk menghadiahkan pingat perak buat Sabah.

Turut menceriakan kem Sabah ialah Alaziz yang meraih pingat gangsa dalam acara 800 meter lelaki.

Atlet berusia 17 tahun dari Lahad Datu itu mencatat masa 1 minit 55.15 saat untuk menduduki tempat ketiga, sekali gus memastikan Sabah terus berada dalam kelompok pemenang pada hari terakhir pertandingan. Alaziz dibimbing jurulatih Anthony Yong.

Dalam acara padang, Syed Ali Syed Ahmad turut menyumbang pingat gangsa menerusi acara lempar cakera lelaki.

Atlet berusia 18 tahun dari Tawau itu melakukan lontaran sejauh 41.03 meter untuk menduduki tempat ketiga daripada 14 peserta yang mengambil bahagian. 

Kejayaan Syed Ali hadir hasil bimbingan jurulatih Gabriel Moinjil.

Satu lagi pingat gangsa Sabah hadir menerusi acara 4×400 meter wanita apabila kuartet yang dibarisi Valdamae Orow, Nia Jovic Suan, Siti Norjahera Beliamor dan Priscellona Grace Kifli @ Hailairy menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dengan catatan masa 4 minit 1.28 saat.

Empat pingat yang diraih pada hari terakhir itu menjadi penutup sempurna buat kem olahraga Sabah yang memulakan cabaran sejak 16 Ogos lalu.

Sepanjang lima hari pertandingan, skuad olahraga Sabah mencipta pelbagai kejayaan termasuk sumbangan pingat emas daripada Earl Isaac Mitzler Fredolin dan Samantha Mae Godfrey Binting pada hari pembukaan saingan.

Momentum kemenangan diteruskan menerusi Nur Denisha Shazliatie Abdullah yang menghadiahkan emas pada hari kedua sebelum Gerfan Nigel Frank melengkapkan kutipan empat emas Sabah pada hari ketiga pertandingan.

Secara keseluruhan, pencapaian empat emas, tujuh perak dan empat gangsa membuktikan keupayaan atlet olahraga Sabah untuk bersaing secara konsisten di pentas SUKMA.

Kejayaan itu bukan sahaja hasil usaha atlet yang berjaya menaiki podium, malah turut disumbangkan oleh barisan jurulatih, pegawai serta pasukan sokongan yang bekerja keras sepanjang temasya berlangsung.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Skuad renang sumbang dua gangsa untuk Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular