HomeUtamaSekatan jambatan sementara jejaskan operasi treler RORO

Sekatan jambatan sementara jejaskan operasi treler RORO

Read Time:2 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU: Operasi membawa keluar kenderaan baharu dari Pelabuhan Kota Kinabalu berdepan risiko tergendala apabila treler pengangkut kereta dua tingkat tidak dapat menggunakan jambatan sementara di Jalan Tun Fuad Stephen yang dibuka pada Jumaat.

Treler jenis car carrier double-deck yang mempunyai panjang kira-kira 22 meter itu termasuk dalam kategori kenderaan berat yang dilarang melalui jambatan berkenaan.

Pada masa sama, laluan alternatif menerusi Jalan Signal Hill Park didakwa tidak sesuai dan berisiko kepada treler terbabit serta pengguna jalan raya lain.

Masrul

Wakil pengusaha treler roll-on roll-off (RORO), Masrul Guding, 36, berkata, masalah berkenaan perlu diselesaikan segera memandangkan sebuah kapal RORO dijadualkan beroperasi di Pelabuhan Kota Kinabalu pada Ahad ini.

“Kami bimbang operasi membawa keluar kenderaan baharu dari pelabuhan akan terjejas kerana treler tidak dibenarkan menggunakan jambatan sementara, manakala laluan alternatif pula sukar dilalui dengan selamat.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, bukan sahaja penghantaran kenderaan akan terganggu, malah kelancaran operasi di pelabuhan turut menerima kesannya,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, ukuran treler yang panjang memerlukan ruang lebih luas ketika membelok masuk ke Jalan Signal Hill Park.

Katanya, pemandu perlu berada di lorong kiri terlebih dahulu sebelum membelok ke simpang di sebelah kanan, sekali gus boleh menimbulkan risiko kepada kenderaan lain.

“Pergerakan seperti itu amat berbahaya, khususnya pada waktu malam kerana pengguna lain mungkin tidak menyedari treler berkenaan sedang mengambil ruang yang luas untuk membelok.

“Laluan itu juga dipenuhi dahan pokok yang boleh terkena dan merosakkan kenderaan baharu yang dibawa di bahagian atas treler,” katanya.

Masrul berkata, pihaknya berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dapat turun menilai sendiri keadaan di laluan berkenaan dan menyediakan penyelesaian yang lebih praktikal.

“JKR perlu mengambil kira semua jenis kenderaan yang lazim menggunakan Jalan Tun Fuad Stephen kerana laluan ini turut menjadi jalan utama bagi kenderaan berat yang keluar masuk dari Pelabuhan Kota Kinabalu.

“Kami bukan mempertikaikan langkah keselamatan yang diambil, tetapi laluan alternatif yang disediakan perlu benar-benar sesuai dengan saiz dan pergerakan treler sepanjang 22 meter,” katanya.

Jambatan sementara di Kilometer (KM) 2.850, Jalan Tun Fuad Stephen dibuka kepada pengguna bermula jam 12 tengah hari Jumaat bagi menggantikan sementara jambatan asal yang ditutup sejak 31 Julai lalu.

Pembukaan itu tertakluk kepada beberapa sekatan, termasuk larangan terhadap treler, lori kontena, bas persiaran serta kenderaan yang mempunyai berat melebihi lima tan atau ketinggian lebih 2.5 meter.

Jambatan asal ditutup serta-merta selepas pemeriksaan menemukan kerosakan struktur serius pada bahagian lantai konkritnya.

JKR Sabah memaklumkan tindakan itu diambil bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

RELATED ARTICLES
Utama

Simpanan kecil ubah nasib suri rumah, rezeki RM1 juta tidak disangka

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular