KOTA KINABALU: Kerjasama rentas agensi menerusi Program MADANI Kita@Sepanggar membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh penyampaian perkhidmatan secara lebih dekat dan mudah kepada masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, penglibatan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengusaha tempatan serta sukarelawan menjadikan program berkenaan lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada komuniti.
Katanya, pendekatan sedemikian selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan penyampaian perkhidmatan serta manfaat pembangunan secara langsung kepada rakyat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada pihak penganjur utama, khususnya Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah.
“Ucapan terima kasih juga kepada semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Majlis Belia Sabah, NGO, pengusaha tempatan serta para sukarelawan yang berganding bahu menjayakan program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Kita@Sepanggar di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini, pada Sabtu.
Menurut Mustapha, pengisian program berkenaan menunjukkan bagaimana pelbagai perkhidmatan dapat dihimpunkan dalam satu lokasi bagi memudahkan masyarakat mendapatkan manfaat tanpa perlu berurusan di lokasi berbeza.
Katanya, antara perkhidmatan yang disediakan termasuk urusan pertukaran kad pengenalan, MyDigital ID, pertukaran al-Quran lama, saringan kesihatan, rawatan pergigian, kempen derma darah dan khidmat nasihat berkaitan pendidikan serta kemahiran.
“Program ini bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kerajaan, tetapi turut memberi manfaat tambahan kepada komuniti seperti pemberian topi keledar percuma, perkhidmatan menukar minyak hitam motosikal dan gunting rambut percuma.
“Ini menunjukkan apabila semua pihak berganding bahu, lebih banyak manfaat dapat disampaikan terus kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, program berkenaan turut memberi ruang kepada masyarakat menyertai pelbagai aktiviti yang menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan komuniti.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk Pertandingan Citra Tari MADANI, sepak penalti, petanque, Karya Cilik MADANI, e-Sukan, Pertandingan Gubahan Buah MADANI dan Jamuan Makan-Makan Kita Bah.
Beliau berkata, penyertaan masyarakat dalam program seumpama itu penting bagi memastikan hubungan antara kerajaan dan rakyat terus diperkukuh melalui pendekatan turun padang.
“Kerjasama rentas agensi ini adalah cerminan sebenar semangat Sabah Maju Jaya dan Malaysia MADANI.
“Saya berharap warga Sepanggar terus memanfaatkan setiap perkhidmatan, pameran dan aktiviti yang disediakan,” katanya.



