HomeUtamaMalaysia, Brunei setuju guna mekanisme Asean tangani jerebu rentas sempadan - PM...

Malaysia, Brunei setuju guna mekanisme Asean tangani jerebu rentas sempadan – PM Anwar

Read Time:1 Minute, 8 Second

BERNAMA

BANDAR SERI BEGAWAN : Malaysia dan Brunei mencapai kata sepakat untuk menggunakan mekanisme ASEAN bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang kini kembali melanda beberapa kawasan di rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dibincangkan bersama-sama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersempena dengan Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) di sini hari ini.

“Kita (Malaysia-Brunei) bersetuju untuk menggunakan mekanisme ASEAN sebagai pilihan jalan terbaik. Kita minta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengurus isu ini,” kata beliau pada sidang media penutup bersempena dengan lawatan kerja selama dua hari ke Brunei.

Terdahulu, Anwar dan delegasi Malaysia tiba di Istana Nurul Iman kira-kira 11 pagi bagi menghadiri ALC-27.

Semalam, Mohamad memaklumkan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik di peringkat ASEAN bagi mencari penyelesaian isu jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di rantau ini.

Mohamad berkata Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN dalam masa terdekat.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian, Sarawak mencatatkan bacaan 190 setakat 9 pagi tadi.

Sepuluh kawasan lain turut mencatatkan tahap tidak sihat iaitu Kuching (182), Samarahan (177), Sarikei dan Sri Aman (173), Sibu (161), Bintulu (157), Samalaju dan Mukah (156) serta Miri dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing 151.– BERNAMA 

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Madani Tidak Ambil Alih DTSB – MKN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular