HomeIsu tempatanTujuh projek pemindahan ilmu UMS bantu komuniti Kampung Keramuak

Tujuh projek pemindahan ilmu UMS bantu komuniti Kampung Keramuak

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan tujuh projek pemindahan ilmu menerusi Program Rentas Borneo 2026 “Keramuak Disusur, Bakti Dihulur” bagi menyalurkan kepakaran universiti kepada komuniti Kampung Keramuak, Tongod dan kawasan berhampiran.

Program itu yang dilaksanakan baru-baru ini melibatkan 65 peserta terdiri daripada warga UMS, Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC), agensi kerajaan dan swasta serta komuniti setempat.

Antara tujuh projek yang dilaksanakan ialah Pemindahan Ilmu Pendidikan Kesihatan dan Perubatan yang diterajui Hospital UMS (HUMS), termasuk aktiviti berkhatan beramai-ramai yang melibatkan 25 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Keramuak.

Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) pula menerajui Pemindahan Ilmu Pendidikan, Meneroka Dunia dan Cita-cita serta Pengurusan dan Kecerdasan Emosi Murid bagi membantu murid memperluas pengetahuan serta membangunkan kemahiran pengurusan emosi.

Sementara itu, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS melaksanakan Pemindahan Ilmu Teknologi Kompos dan Penanaman Anak Pokok yang memberi pendedahan berkaitan amalan pengurusan sisa dan penanaman kepada komuniti.

Dalam bidang pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS menerajui Pemindahan Ilmu Pengajian Islam melalui Bengkel al-Fatihah, manakala Galeri Azman Hashim-UMS dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) UMS melaksanakan Pemindahan Ilmu Kesenian dan Budaya Malaysia MADANI.

Dua lagi projek melibatkan Pemindahan Ilmu Kesedaran Alam Sekitar dan Biodiversiti yang diterajui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, serta Program Keselamatan dan Masyarakat oleh Bahagian Keselamatan UMS (BKUMS).

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, pelaksanaan pelbagai projek pemindahan ilmu itu mencerminkan peranan UMS dalam membawa kepakaran universiti kepada masyarakat luar bandar.

“UMS bukan hanya di bandar sahaja, tetapi kami bergerak ke kawasan-kawasan pedalaman mencurahkan ilmu kepada komuniti-komuniti tempatan agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.

“Kepelbagaian bidang yang diketengahkan menerusi tujuh projek berkenaan selaras dengan aspirasi UMS sebagai The Brain of Borneo dalam memanfaatkan kepakaran universiti untuk pembangunan masyarakat.

“Program pemindahan ilmu dalam pelbagai disiplin ilmu seumpama ini amat bertepatan dengan nilai dan aspirasi ‘UMS The Brain of Borneo’ yang telah kita gariskan,” jelasnya.

Tambah Kasim, program pemindahan ilmu seumpama itu wajar dilaksanakan secara berkala bagi memastikan komuniti luar bandar terus mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengetahuan yang dimiliki UMS.

“Semoga dengan pemindahan ilmu ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup komuniti desa dan menjadikan komuniti desa, komuniti yang pentingkan ilmu dan sentiasa mahu maju ke hadapan.

“Saya yakin program ini akan memberikan impak yang positif kepada komuniti Kampung Keramuak dan berguna di dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pengurusan risiko bencana bantu tingkat kesedaran komuniti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular