HomeUtamaPremis jual durian dikompaun, alat timbang tamat tempoh sah

Premis jual durian dikompaun, alat timbang tamat tempoh sah

Read Time:1 Minute, 20 Second

TAWAU: Sebuah premis menjual durian di sini dikenakan kompaun selepas pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati alat timbang yang digunakan sudah tamat tempoh sah.

Kes itu dikesan sepasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tawau ketika menjalankan pemeriksaan di sekitar daerah ini, hari ini.

KPDN Sabah dalam kenyataan berkata Pemeriksaan mendapati peniaga berkenaan ada menggunakan alat timbang sukat yang gagal di tentusahkan untuk tujuan perdagangan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972.

“Di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, individu yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh meningkat sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya,” menurut kenyataan itu.

KPDN Sabah berkata, secara keseluruhan hasil pemeriksaan mendapati peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan KPDN, khususnya berkaitan penandaan harga serta penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

Pemeriksaan ke atas stesen minyak di sekitar Tawau pula mendapati stesen yang diperiksa menyediakan Peti dan Buku Log Lawatan KPDN serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Sebanyak 40 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) telah dikeluarkan terhadap premis perniagaan yang diperiksa,” katanya.

KPDN menegaskan bahawa pemeriksaan dan pemantauan dijalankan secara konsisten setiap hari dan akan terus dipertingkatkan khususnya menjelang musim perayaan bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil, telus dan mematuhi perundangan sentiasa terpelihara.

“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan atau pertanyaan kepada KPDN menerusi saluran aduan yang disediakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji iringi Perdana Menteri hadiri rundingan tahunan pemimpin Malaysia-Brunei Ke-27

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular