BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27) yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini, pada Sabtu.
Kehadiran Hajiji pada rundingan tahunan berkenaan mencerminkan komitmen Sabah dalam memperkukuh hubungan kerjasama serantau serta menyokong agenda hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei Darussalam yang merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan dan pembangunan ekonomi.
Sebelum itu, Hajiji turut menghadiri mesyuarat pra-majlis ALC-27 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Hotel Empire pada Jumaat sebagai persediaan menjelang rundingan tahunan tersebut.
Turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mengiringi Hajiji dari Sabah ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; serta Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri, Datuk Awang Shahminan Sahari.
Selepas selesai ALC-27, Perdana Menteri mengadakan pertemuan empat mata dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
Rundingan berkenaan turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan instrumen dua hala yang dijangka memperkukuh lagi hubungan strategik serta kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor berkepentingan bersama.
Majlis kemudian diteruskan dengan jamuan tengah hari rasmi yang dihoskan bagi meraikan Perdana Menteri serta delegasi Malaysia yang menghadiri rundingan tahunan tersebut.
ALC merupakan platform penting yang diadakan secara berkala bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama serta memperkukuh hubungan erat yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Brunei Darussalam.



