KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyasarkan sekurang-kurangnya lima pingat emas pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Edisi Ke-7 2026 yang akan berlangsung di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dari 28 Ogos hingga 6 September ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Raman Noordin berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan persiapan rapi, komitmen tinggi serta semangat juang yang dimiliki seluruh kontinjen UMS.
Menurut beliau, persiapan yang telah dilakukan menjadi asas penting kepada atlet UMS untuk memberikan saingan terbaik dalam kejohanan berkenaan, selain membawa nama universiti di peringkat kebangsaan.
“Dengan persiapan rapi, komitmen tinggi serta semangat juang yang dimiliki, saya yakin sasaran sekurang-kurangnya lima pingat emas mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UMS Sempena SUKIPT 2026 yang berlangsung di Auditorium Jabatan Digital UMS, di sini pada Rabu.
Seramai 60 atlet dan pegawai UMS akan menyertai sembilan acara sukan yang dipertandingkan pada kejohanan tersebut.
Antara acara yang disertai kontinjen UMS ialah bola tampar lelaki dan wanita, taekwondo, silat, karate, petanque, badminton, tenpin boling, memanah dan olahraga.
Dalam pada itu, Dr. Raman berkata, UMS turut menyediakan insentif sebanyak RM500 bagi setiap pingat emas yang berjaya dimenangi sebagai tanda penghargaan dan motivasi kepada atlet kontinjen.
Raman berkata insentif tersebut diharap dapat menjadi dorongan tambahan kepada atlet untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap acara yang disertai.
Beliau turut berharap seluruh kontinjen agar menjadikan SUKIPT bukan semata-mata sebagai medan memburu kemenangan, sebaliknya peluang untuk membina ukhuwah dan mengeratkan silaturahim.
Katanya, penglibatan dalam kejohanan itu juga dapat memperkukuh hubungan antara warga universiti awam dari seluruh negara melalui interaksi, kerjasama dan semangat kesukanan.
Beliau berharap setiap atlet dapat menampilkan disiplin, kesungguhan dan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan, di samping menjaga nama baik UMS.
SUKIPT Edisi Ke-7 2026 akan berlangsung selama 10 hari di Universiti Malaya, Kuala Lumpur bermula 28 Ogos hingga 6 September ini, dengan penyertaan institusi pendidikan tinggi dari seluruh negara.



