HomeUtamaLima pelajar cemerlang terima biasiswa TYT, lanjut pengajian ke UK

Lima pelajar cemerlang terima biasiswa TYT, lanjut pengajian ke UK

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Seramai lima pelajar cemerlang terpilih menerima Biasiswa Anugerah Cemerlang Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di United Kingdom (UK).

Kesemua penerima akan melanjutkan pengajian di Northumbria University, United Kingdom dan dijadualkan berlepas pada 19 September depan.

Penyampaian biasiswa berkenaan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin, dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Penerima termuda, Nixon Liew Yan Chern, 17, berkata, biasiswa berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan keluarganya, malah menjadi pendorong untuk beliau merealisasikan cita-cita menjadi seorang jurutera kimia.

Menurutnya, peluang melanjutkan pengajian di luar negara akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperoleh ilmu dan pengalaman yang boleh disumbangkan kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

“Saya berharap saya dapat menggunakan ilmu saya bagi pembangunan negara pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui media.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Nur Sazrina Nester dari Tuaran, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas peluang yang diberikan kepadanya untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Beliau berkata, peluang berkenaan menjadi satu amanah untuknya kembali berbakti kepada negeri Sabah selepas menamatkan pengajian kelak.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah dan selepas ini saya mahu berbakti kepada negeri Sabah sebagai menghargai dan membalas jasa atas peluang yang diberikan,” katanya.

Selain Nixon dan Nur Sazrina, tiga lagi penerima biasiswa berkenaan ialah Aidryn Syinta Aidi, Garry Gelvint Hendry dan Ivan Dominic Rainol.

Pemberian biasiswa berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam membuka peluang pendidikan kepada pelajar cemerlang, khususnya untuk mendapatkan pendedahan akademik dan pengalaman di institusi pengajian tinggi antarabangsa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Norlijah Danin; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Ramlan Awang Ali; dan Pengarah Bahagian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Emas Sanjongan Datu Okar.

RELATED ARTICLES
Utama

Pentas Orkestra UMS jadi medan bakat muda SM Maktab Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular