KOTA KINABALU: Seorang lagi mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang dalam kebakaran rumah setinggan atas air di Kampung Numbak di sini, ditemukan rentung pagi ini.
Penemuan mangsa ketiga itu menjadikan keseluruhan tiga mangsa maut dalam kejadian berkenaan, membabitkan dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, maklumat terkini mengesahkan ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan rentung.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Asrul Abdullah, 6, Nana Abdullah, 4, dan Nurfarahdilah Mohd Tajihah, 8.
Kebakaran yang dilaporkan pada kira-kira jam 1.40 pagi itu membabitkan rumah setinggan atas air jenis tidak kekal di Kampung Lok Buta, dengan anggaran awal kira-kira 202 rumah terjejas.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.54 pagi dan berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran pada jam 4.30 pagi.
Operasi pemadaman dan kerja-kerja pemeriksaan lanjut masih dijalankan, manakala jumlah sebenar rumah yang terlibat masih dalam proses pengesahan. – SABAH MEDIA



