KOTA BHARU: Pas Sabah menuntut agar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diberi perhatian serius dan dilaksanakan sepenuhnya tanpa rundingan lanjut sekiranya Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya kelak.
Perwakilannya, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, isu MA63 kekal menjadi perjuangan utama rakyat Sabah, terutamanya berkaitan tuntutan pemulangan 40 peratus atau dua perlima hasil negeri seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa Sabah tidak meminta keistimewaan yang berlebihan, sebaliknya hanya menuntut hak sah yang telah termaktub dalam perlembagaan bagi menjamin keadilan pembangunan wilayah.
”Sabah tidak mahu lebih-lebih atau lebih daripada yang lain.
“Sabah mahu hak termaktub dalam Perlembagaan 112C dan 112D merangkumi 40 peratus atau 2/5 hasil negeri dipulangkan,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini.
Selain itu, Aliakbar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat turut menggesa agar pelaksanaan subsidi bersasar di bawah program Budi Madani atau inisiatif serupa dimansuhkan sepenuhnya bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat di negeri itu.
Menurut beliau, faktor geografi dan demografi Sabah yang mencabar memerlukan pengecualian khas di mana harga minyak dikembalikan kepada kadar asal bagi menyokong pertumbuhan sektor keusahawanan serta kelangsungan hidup penduduk tempatan.
“Kita di peringkat negeri Sabah telah membuat sedikit kajian dan penelitian. Kita memohon kepada kerajaan bukan setakat menaikkan kuota daripada 200 ke 300 liter sama ada petrol ataupun diesel, tetapi ditiadakan dan dihapuskan.
“Rakyat Sabah adalah antara rakyat yang susah, baru nak bangun berniaga dan menghidupkan keusahawanan.
“Sabah adalah negeri dengan muka bumi, demografi dan geografi yang sangat memerlukan (subsidi) minyak Kembali ke asal,” ujarnya.



