KOTA KINABALU: Program Perantis Go Digital 2026 anjuran IKSNita Sabah dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dilihat mampu memperkasa usahawan wanita dan golongan belia menerusi penguasaan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Program selama lima hari itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan komuniti, khususnya usahawan wanita dan belia, selain memberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi AI dalam pengurusan serta pembangunan perniagaan.
Pengerusi IKSNita Sabah, Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen pihaknya dalam menyediakan platform pembangunan kemahiran digital yang bersesuaian dengan keperluan semasa komuniti dan sektor keusahawanan.

Menurutnya, perkembangan teknologi yang semakin pesat menjadikan penguasaan kemahiran digital sebagai satu keperluan penting bagi memastikan usahawan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perniagaan.
“Antara pengisian utama program ialah bengkel dan latihan praktikal berkaitan Google Business Profile, penggunaan ChatGPT untuk usahawan, Canva AI, Video AI serta penggunaan AI bagi membantu pengurusan rekod kewangan.
“Melalui Google Business Profile, peserta didedahkan kepada kaedah membina dan mengurus profil perniagaan secara dalam talian bagi meningkatkan keterlihatan perniagaan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Rosmawati Lasuki.
Sementara itu, pengendali kursus, Ts Gs Mahadthir Asbollah berkata, penggunaan ChatGPT memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah menghasilkan dokumen rasmi, prosedur operasi standard (SOP) serta bahan penulisan pemasaran atau copywriting dengan lebih pantas dan sistematik.
Katanya, peserta turut diberi latihan menggunakan Canva AI untuk menghasilkan pelbagai bahan promosi seperti poster, kandungan media sosial dan pembentangan profesional.
“Peserta juga diperkenalkan kepada teknologi Video AI yang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan video promosi bagi tujuan pemasaran produk dan perkhidmatan.
“Dalam bengkel tersebut, peserta dibimbing mengenai penggunaan aplikasi berasaskan AI seperti ChatGPT, Canva AI dan Video AI bagi meningkatkan produktiviti, memperkemas operasi serta memperkukuh daya saing perniagaan,” katanya.
Menurut Mahadthir, program itu turut memberi penekanan kepada aspek praktikal supaya peserta bukan sahaja memahami fungsi teknologi digital dan AI, malah mampu mengaplikasikannya dalam pengurusan serta operasi perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, program berkenaan melibatkan penyertaan pemimpin pelajar universiti dan kolej, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti, usahawan wanita daripada golongan B40 serta pemimpin belia wanita.
“Pendedahan yang diberikan diharap dapat meningkatkan kefahaman dan kemahiran peserta dalam memanfaatkan teknologi digital dan AI sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan perniagaan masing-masing.
“Penguasaan teknologi ini juga dapat membantu peserta menghasilkan bahan pemasaran dengan lebih berkesan, meningkatkan kecekapan pengurusan serta membuka peluang kepada mereka untuk memperluaskan pasaran melalui platform digital,” katanya.
Beliau berkata, Program Perantis Go Digital 2026 diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan lebih ramai usahawan digital yang berdaya saing di Sabah.
Katanya, peningkatan keupayaan komuniti dalam memanfaatkan teknologi digital bukan sahaja memberi manfaat kepada pengusaha secara individu, malah berpotensi menyumbang kepada pengukuhan ekonomi komuniti dan pembangunan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Program berkenaan turut dilihat sebagai satu usaha berterusan dalam memastikan golongan wanita dan belia tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital, selain mampu memanfaatkan teknologi sebagai alat untuk mengembangkan perniagaan secara lebih inovatif dan mampan.



