HomeUtamaKKM perkasa sistem kesihatan Sabah, atasi cabaran geografi dan kekurangan tenaga kerja

KKM perkasa sistem kesihatan Sabah, atasi cabaran geografi dan kekurangan tenaga kerja

Read Time:3 Minute, 0 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU : Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan di Sabah khususnya bagi memastikan rakyat di kawasan pedalaman dan pulau di negeri itu mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata usaha berkenaan dilakukan menerusi pelaburan infrastruktur, pendigitalan, inovasi logistik serta penambahan tenaga kerja.

Beliau berkata langkah itu penting mengambil kira cabaran geografi dan logistik dihadapi Sabah selain beban penyakit tidak berjangkit (NCD) serta penyakit berjangkit yang masih memerlukan perhatian.

“Kerajaan memperuntukkan RM1.56 bilion menerusi perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi melaksanakan 53 projek pembangunan kesihatan di seluruh Sabah.

“Hal ini merangkumi 32 projek fizikal pembinaan hospital dan klinik (seperti Pusat Jantung Sabah, Klinik Kesihatan (KK) Sapulut Nabawan dan Blok Baharu Hospital Tawau) serta 21 projek bukan fizikal khusus untuk pendigitalan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perolehan peralatan perubatan terkini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bual Bicara Bersama Menteri Kesihatan bertajuk “Perkhidmatan Kesihatan di Sabah: Realiti Semasa, Cabaran dan Harapan Masa Hadapan” di sini pada Jumaat.

Dzulkefly berkata bagi tempoh 2023 hingga 2025, KKM menerusi inisiatif Bitara MADANI telah menyempurnakan pembangunan semula dan naik taraf 132 Klinik Daif di Sabah dengan peruntukan RM75.5 juta manakala tahun ini sedang merancang pelaksanaan baki 46 Klinik Daif secara berfasa.

KKM turut menetapkan unjuran peningkatan peruntukan kesihatan Sabah sebanyak lima peratus setahun, dengan peruntukan negeri itu dijangka mencecah RM4 bilion menjelang 2030.

“Dalam siri lawatan kerja ke hospital daerah di Sabah baru-baru ini, KKM turut meluluskan peruntukan segera berjumlah RM4.3 juta, termasuk RM988,000 untuk Hospital Tambunan, RM1.279 juta untuk Hospital Ranau berserta empat ambulans baharu dan RM2.01 juta bagi menaik taraf Unit Pesakit Luar Hospital Kota Belud,” katanya.

Dzulkefly berkata KKM juga akan melaksanakan projek rintis penghantaran ubat menerusi dron di Tawau pada suku keempat 2026 bagi mempercepat penghantaran bekalan ubat kritikal ke kawasan terpencil selain menumpukan kepada pendigitalan kesihatan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Sebanyak 81 peratus pesakit kini disaring dan dirawat dalam masa kurang dari satu jam. Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) sedang diperluas ke 36 KK di Sabah manakala kesemua 44 klinik pergigian primer di negeri itu kini menggunakan rekod pergigian digital menerusi Dental Information System,” katanya.

Dzulkefly berkata kerajaan juga menyasarkan keseluruhan ekosistem kesihatan negara didigitalkan sepenuhnya menjelang 2030 bagi merealisasikan visi “Satu Individu, Satu Rekod” manakala kerjasama KKM dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut membolehkan sasaran integrasi digital primer dipercepat dari 2045 kepada suku pertama 2027.

Beliau berkata Sabah turut mempunyai perkhidmatan e-Kesihatan yang diintegrasikan dengan ekosistem Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah seliaan MCMC supaya penduduk pedalaman dan pulau boleh mendapatkan konsultasi maya (telehealth) tanpa perlu memandu jauh.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kekurangan tenaga kerja kekal antara cabaran utama perkhidmatan kesihatan di Sabah dengan kadar pengisian perjawatan di negeri itu kini 88.51 peratus, melibatkan 3,557 kekosongan.

“Sabah kini disokong 2,546 doktor, 549 pakar dan 10,164 jururawat. Realiti yang lebih mendalam ialah Sabah sering dijadikan ‘training ground’ atau sekadar tempat latihan persinggahan sebelum petugas memohon pertukaran keluar,” katanya.

Dzulkefly berkata pada 2025 hanya 12 pakar perubatan melapor diri di negeri itu berbanding 57 yang bertukar keluar manakala 174 pegawai farmasi memasuki dan 115 memohon untuk keluar pada tahun sama.

Sehubungan dengan itu, bagi menangani isu itu, beliau berkata Pasukan Petugas Pengurusan Perjawatan KKM-Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah ditubuhkan pada April lepas, diikuti Jawatankuasa Bersama KKM-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Jun.– BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

RM8.24 juta pemerkasaan wanita Sabah tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular