KOTA KINABALU : Kualiti udara di beberapa kawasan di Sabah kembali mencatat bacaan tidak sihat apabila merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 setakat jam 10 pagi pada Sabtu.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), tiga stesen pemantau terlibat adalah di stesen Politeknik Kota Kinabalu (PKK); Kota Kinabalu dan Kimanis.
Stesen Kimanis merekodkan bacaan tertinggi iaitu 165; diikuti PKK dengan 156 dan Kota Kinabalu 135.
Sandakan pula mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu 78; Keningau 89 dan Tawau 91.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Keadaan berkenaan menunjukkan kualiti udara di beberapa kawasan utama Sabah masih kurang baik, sekali gus memerlukan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya golongan berisiko.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar yang berpanjangan sekiranya tidak diperlukan serta mendapatkan maklumat terkini mengenai status kualiti udara daripada sumber rasmi.
Peningkatan pencemaran udara juga boleh memberi kesan kepada individu yang sensitif terhadap pencemaran, terutama mereka yang mempunyai masalah pernafasan.
Orang ramai disaran terus memantau perubahan bacaan IPU dari semasa ke semasa berikutan keadaan kualiti udara boleh berubah mengikut faktor cuaca dan keadaan setempat. – SABAH MEDIA



