HomeUtamaPengiktirafan Kampung Toboh buka peluang baharu industri kopi Sabah

Pengiktirafan Kampung Toboh buka peluang baharu industri kopi Sabah

Read Time:2 Minute, 35 Second

RANAU : Kerajaan Sabah akan menambah peruntukan khas bagi memperkasa pembangunan industri kopi di negeri ini susulan pengiktirafan Kampung Toboh, Ranau sebagai kawasan penanaman kopi tanah tinggi tertinggi di Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peruntukan khas bagi pembangunan industri berkenaan sudah disediakan sebelum ini dan kerajaan negeri akan menambahnya bagi memastikan sektor itu terus berkembang.

Beliau berkata, pengiktirafan Kampung Toboh oleh Malaysia Book of Records (MBOR) itu menjadi satu detik bersejarah yang membuka ruang kepada potensi besar pembangunan tanaman kopi serta industri pemprosesannya di Sabah.

Katanya, kopi yang ditanam di kawasan tanah tinggi mempunyai nilai pasaran lebih tinggi, dengan harga biji kopi berpotensi mencecah antara RM200 hingga RM300 sekilogram.

“Ini satu harga yang cukup tinggi dan kita harapkan pengisytiharan Kampung Toboh sebagai pengeluar kopi tanah tinggi tertinggi di Malaysia akan menjadi satu insentif serta pendorong kepada masyarakat kampung ini dan kawasan pedalaman lain untuk menanam kopi secara komersial dan konsisten.

“Kita akan memberi peruntukan khas. Malah, peruntukan khas ketika ini pun sudah ada, tetapi kita akan tambah lagi bagi memastikan ekonomi atau industri kopi ini maju di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengisytiharan Kampung Toboh sebagai kawasan penanaman kopi tanah tinggi tertinggi di Malaysia, di sini pada Khamis.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, kopi tanah tinggi berpotensi dibangunkan sebagai produk khusus atau ‘niche product’ dari Sabah yang mampu menembusi pasaran lebih luas, bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pengiktirafan itu juga membuka peluang kepada Sabah untuk membangunkan produk pertanian bernilai tinggi yang mempunyai keunikan tersendiri berbanding pengeluaran kopi di kawasan lain.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan industri berkenaan memerlukan pelan tindakan khusus yang perlu diwujudkan segera, termasuk meningkatkan jumlah petani serta memperbaiki mutu kopi yang dihasilkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil kira aduan pengilang kopi berhubung bekalan biji kopi tempatan yang tidak konsisten dan dalam kuantiti kecil sehingga menyebabkan operasi pengilangan terpaksa dikurangkan.

Malah, keadaan itu menyebabkan sebahagian pengilang terpaksa mendapatkan bekalan biji kopi dari luar Sabah bagi menampung keperluan operasi mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap pengiktirafan Kampung Toboh dapat menyuntik semangat baharu kepada penduduk setempat serta masyarakat di kampung berhampiran untuk mengusahakan tanaman kopi secara lebih besar-besaran.

Masidi berkata, Jabatan Pertanian juga bersedia memberikan khidmat nasihat bagi memastikan usaha penanaman kopi dapat dilaksanakan dengan baik dan menghasilkan pengeluaran berkualiti.

Beliau turut menggesa masyarakat, khususnya golongan muda, supaya melihat sektor pertanian sebagai peluang menjana pendapatan tanpa perlu berhijrah ke bandar.

Katanya, penanaman kopi berpotensi memberikan pulangan yang baik kepada penduduk luar bandar sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh, konsisten dan berterusan.

“Persoalannya, mana yang kita mahu, glamor ataupun pendapatan yang tinggi. Itu pilihan kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan industri kopi turut berpotensi diperluaskan kepada sektor pelancongan menerusi pewujudan produk ‘coffee trail’ yang membolehkan pelancong mengunjungi kampung ke kampung untuk menikmati kopi keluaran tempatan.

Beliau turut meminta Jabatan Pertanian melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan kopi khusus yang mempunyai identiti tersendiri dari Kampung Toboh.

Katanya, usaha meningkatkan mutu dan menghasilkan produk kopi berkualiti tinggi itu penting bagi membolehkan kopi tempatan mempunyai nilai tambah serta daya saing di pasaran antarabangsa. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Petani didenda RM12,000 miliki cecair mitragynine

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular