KOTA KINABALU: Bekas penyerang Sabah FC, Ajdin Mujagic, menjadi mimpi ngeri buat bekas kelabnya apabila meledak dua gol untuk membantu Kuching City FC menewaskan Sabah 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Mujagic tampil sebagai watak utama kemenangan Kuching City apabila menyumbat dua jaringan dalam tempoh 20 minit pertama permainan, sekali gus memberikan pasukan pelawat kelebihan yang sukar dipatahkan Sabah sehingga tamat perlawanan.
Kedua-dua jaringan tersebut hadir selepas kesilapan pertahanan Sabah yang berjaya dimanfaatkan penyerang kelahiran Bosnia itu untuk menghukum pasukan tuan rumah.
Kuching City membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 apabila Mujagic mengambil kesempatan daripada kesilapan benteng pertahanan Sabah.
Mendapat ruang di kawasan berbahaya, Mujagic tidak mensia-siakan peluang apabila melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Sabah, Juan Flere, untuk meletakkan Kuching City di depan 1-0.
Jaringan awal itu nyata mengejutkan Sabah yang cuba segera bangkit untuk mencari gol penyamaan.
Namun, barisan pertahanan Kuching City tampil kemas dan berdisiplin untuk menyerap tekanan, sekali gus menyukarkan Sabah menghasilkan peluang bersih di hadapan gawang pelawat.
Ketika Sabah masih mencari rentak, Mujagic sekali lagi menghukum kelemahan benteng tuan rumah pada minit ke-21.
Kesilapan pertahanan Sabah membolehkan Mujagic sekali lagi mendapatkan ruang sebelum melepaskan rembatan yang menerjah jaring.
Gol kedua itu menjadikan Kuching City mendahului 2-0, manakala Mujagic melengkapkan dua jaringan peribadinya dalam tempoh hanya 20 minit.
Lebih menarik, kedua-dua jaringan tersebut hadir ketika Mujagic berdepan bekas kelabnya, menjadikan malam di Stadium Likas cukup bermakna buat penyerang berkenaan.
Sabah cuba memperkemaskan permainan selepas ketinggalan dua gol, namun Kuching City terus mempertahankan kelebihan dengan disiplin tinggi.
Memasuki babak kedua, Sabah tampil lebih agresif dan meningkatkan tekanan untuk mencari gol bagi menghidupkan semula peluang mereka.
Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-53 menerusi Darren Lok yang hampir menjaringkan gol pertama Sabah.
Bagaimanapun, penjaga gol Kuching City, Muhamad Haziq, muncul penyelamat apabila berjaya menepis keluar percubaan tersebut.
Pada minit ke-73, Miguel Cifuentes pula cuba mengurangkan defisit menerusi satu percubaan ke arah gawang Kuching City. Bagaimanapun, percubaannya tidak menepati sasaran apabila bola melewati palang.
Sabah terus meningkatkan tekanan pada minit-minit akhir perlawanan, tetapi ketumpulan penyudah dan ketahanan pertahanan Kuching City menyebabkan usaha tuan rumah gagal menghasilkan jaringan.
Kuching City akhirnya berjaya mempertahankan kelebihan 2-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan itu membolehkan Kuching City FC membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Likas dan terus berada di tangga kedua, manakala Sabah FC kekal di tangga keempat dengan enam mata.



