KOTA KINABALU: Seramai 133 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam 20 operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di pelbagai lokasi strategik di seluruh negeri.
Kesemua mereka ditahan hasil pemeriksaan terhadap 289 individu dalam operasi yang dilaksanakan selama lapan hari, bermula 27 Ogos hingga 3 September lalu.
Daripada jumlah yang ditahan, 97 adalah warga Filipina, terdiri daripada 45 lelaki dewasa, 25 perempuan dewasa, 18 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan 32 warga Indonesia membabitkan 27 lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa, serta empat lelaki dewasa warga Pakistan.
JIM Sabah dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dalam usaha membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Sebarang kegiatan PATI juga diminta dilaporkan melalui saluran rasmi JIM Sabah menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO).



