HomeUtamaTanggungjawab terhadap mualaf tidak berakhir selepas syahadah

Tanggungjawab terhadap mualaf tidak berakhir selepas syahadah

Read Time:2 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Tanggungjawab terhadap saudara baharu tidak terhenti selepas mereka melafazkan dua kalimah syahadah, sebaliknya memerlukan bimbingan, perhatian, kasih sayang dan sokongan berterusan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, saudara baharu perlu terus disantuni menerusi pendidikan agama, bimbingan kerohanian, kebajikan, pembangunan ekonomi, latihan kemahiran serta sokongan sosial supaya mereka mampu menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dengan penuh keyakinan, ketenangan dan istiqamah.

“Kita mahu melahirkan mualaf yang bukan sahaja memahami Islam, tetapi merasai keindahan Islam; bukan sahaja menjadi penerima, tetapi akhirnya mampu menjadi penyumbang; bukan sahaja dibimbing, tetapi suatu hari nanti mampu membimbing orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Ijtima’ Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di Dewan Bangkuasi Dewan Undangan Negeri Sabah, malam tadi.

Hajiji menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Ijtima’ Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Dewan Bangkuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, malam tadi.
Hajiji menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Ijtima’ Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Dewan Bangkuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, malam tadi.

Hajiji berkata, IJMAM bukan sekadar pertandingan atau perhimpunan, sebaliknya wadah untuk memperkukuh kefahaman Islam, mencungkil bakat, membina keyakinan diri, membentuk jati diri serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan saudara baharu dari seluruh Malaysia.

Katanya, tema “Memperkasa Mualaf, Memperkukuh Ummah” membawa mesej jelas bahawa pembangunan mualaf adalah sebahagian daripada agenda besar pembangunan ummah.

Dalam konteks Sabah yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama, beliau berkata pendekatan dakwah hendaklah sentiasa dilaksanakan dengan hikmah, kasih sayang, kesederhanaan, kebijaksanaan dan menghormati kepelbagaian masyarakat.

“Islam yang kita dakwahkan hendaklah dizahirkan melalui akhlak. Islam yang kita perjuangkan hendaklah diterjemahkan melalui perbuatan. Dan Islam yang kita hayati hendaklah melahirkan masyarakat yang aman, penyayang, saling menghormati dan saling membantu,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha yang dapat memperkasa masyarakat termasuk komuniti mualaf supaya mereka mempunyai peluang untuk maju, berdikari dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara, selaras aspirasi Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

Pada masa sama, Hajiji berharap peserta dari seluruh negara memanfaatkan kesempatan berada di Sabah untuk mengenali keindahan dan keunikan negeri itu, termasuk khazanah alam semula jadi, budaya, adat resam dan masyarakatnya yang hidup dalam suasana harmoni.

Katanya, keindahan Sabah bukan hanya terletak pada alam semula jadi, tetapi juga pada rakyatnya yang terkenal dengan keramahan, semangat kekitaan, kepelbagaian budaya dan kehidupan masyarakat yang saling menghormati.

“Saya berharap para peserta IJMAM dari seluruh Malaysia bukan sahaja membawa pulang hadiah dan kenangan daripada program ini, tetapi turut membawa pulang satu pengalaman bahawa Sabah ialah negeri yang indah alamnya, kaya budayanya, mesra rakyatnya dan besar potensinya,” katanya.

Hajiji berkata, apabila sektor pelancongan, budaya, ekonomi dan pembangunan insan bergerak seiring, manfaatnya akan kembali kepada rakyat menerusi peluang kepada usahawan, pengusaha kecil, penggiat seni dan budaya, komuniti luar bandar serta generasi muda untuk menjana pendapatan dan membina masa depan lebih baik.

Beliau turut menyeru saudara baharu supaya tidak membiarkan semangat IJMAM berakhir selepas program itu, sebaliknya terus hidup dalam keluarga, masyarakat dan usaha membangunkan ummah.

“Jadilah saudara baharu yang bukan sahaja menerima bimbingan, tetapi pada suatu hari nanti mampu pula menjadi pembimbing. Jadilah pendakwah. Jadilah pemimpin. Jadilah inspirasi. Dan jadilah bukti bahawa hidayah Allah mampu mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih baik dan lebih bermakna,” katanya.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Bila AI Dunia Terhenti Serentak, Apa yang Malaysia Ada?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular