HomeUtamaKes bunuh wanita ditemukan dikerat dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Kes bunuh wanita ditemukan dikerat dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan kes seorang penjual ikan warga emas yang berdepan pertuduhan membunuh seorang wanita, yang mayatnya ditemukan dalam keadaan dikerat, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Perintah dikeluarkan Majistret Dzul Elmy Yunus selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes yang dihadapi Piluta Samad, 72.

Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menerima arahan supaya kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Piluta didakwa atas pertuduhan membunuh bekas tunangnya Hamidah Husin @Lisa, 44, pada 11 Februari 2026, di antara jam 6 petang hingga 7 malam, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Sekiranya, tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berumur bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan ketika Piluta dihadapkan di Mahkamah Majistret pada 27 Februari lalu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah sebelum ini, pada 15 April lalu, memerintahkan Piluta menjalani pemerhatian selama 30 hari di Hospital Mesra susulan permohonan pasukan guaman untuk merujuk tertuduh bagi penilaian mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 15 Mei lalu, mahkamah membenarkan lanjutan sebulan untuk penilaian psikiatri terhadap Piluta.

Pada 23 Julai lalu, laporan hospital berkenaan menunjukkan Piluta didapati sihat untuk dibicarakan dan tidak mengalami sebarang penyakit mental.

Piluta diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh, Ian Vun dan Prem Elmer Ganasan.

RELATED ARTICLES
Utama

Jerebu jejas sistem pernafasan, golongan berisiko perlu berwaspada – Pakar UMS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular