KOTA KINABALU : Orang ramai dinasihatkan untuk menangguhkan sementara semua aktiviti riadah dan pendakian khususnya di kawasan pantai timur dan utara Sabah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Ali Ismail berkata, ini berikutan ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan berlaku luruan monsun dengan membawa angin sejuk dari Siberia bermula esok.
Katanya, luruan monsoon itu dijangkakan mengakibatkan hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah.
“Keadaan ini berpotensi mengakibatkan berlakunya banjir, tanah runtuh dan lain-lain kecelakaan berkaitan.
“Orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan tersebut dinasihatkan untuk lebih peka dan sentiasa berwaspada.
“Bagi orang ramai yang merancang untuk menjalankan aktiviti riadah seperti berkelah, berkhemah di kawasan pinggiran sungai atau aktiviti untuk pendakian di kawasan-kawasan tersebut agar menangguhkan dahulu hasrat bagi mengelakkan berlakunya malapetaka di luar jangka,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Mohd Ali berkata, JBPM Sabah telah diletakkan dalam keadaan lebih bersiapsiaga dengan meletakkan aset-aset berkaitan di lokasi-lokasi strategik dengan lebih awal.
Katanya, pihaknya juga membuat pemantauan dari masa ke masa dan sentiasa akan berkoordinasi dengan agensi-agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah/Negeri untuk bertindakbalas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini selari dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No.20 ; Mekanisme Pengurusan Bencana di Malaysia.
Terdahulu, MET Malaysia menjangkakan akan berlaku luruan monsun bermula esok sehingga 2 Januari 2022.
MET Ma;aysia menyatakan pada masa yang sama, terdapat sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan dan keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Sabah pada 27 Disember 2021 hingga 2 Januari 2022 dan barat Sarawak pada 29 hingga31 Disember.
Manakala di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada 30 Disember 2021 -2 Januari 2022.
Angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan termasuklah kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung pada 27 Disember 2021 hingga 2 Januari 2022.
Orang awam yang merancang perjalanan ke kawasan-kawasan berkenaan dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat terkini.
MET Malaysia terus memantau keadaan cuaca 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan dan Amaran Ribut Petir bila keadaan perlu.