MEMBAKUT: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki melakukan khianat terhadap sebuah kamera CCTV di sebuah rumah di Kampung Lumantak, di sini.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai menggunakan sekeping cermin untuk memantulkan cahaya matahari ke arah kamera CCTV sehingga menyebabkan rakaman menjadi silau dan kabur serta mengganggu sensor pergerakan.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dalam kenyataan pada Rabu berkata Kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan privasi serta perselisihan keluarga berhubung harta pusaka.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan sebarang pertikaian, sebaliknya menggunakan saluran undang-undang yang betul.
Ia bagi mengelakkan perselisihan kecil berakhir dengan tindakan jenayah.



