SEMPORNA: Seorang lelaki didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan tanpa permit.
Tertuduh yang mengaku bersalah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya akan berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam kenyataan berkata, tertuduh gagal membayar denda dan seterusnya dihantar ke Penjara Tawau bagi menjalani hukuman.
“Tertuduh disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Barang kawalan yang disita membabitkan 250 liter petrol dan 578 kilogram minyak masak paket satu kilogram yang diperintahkan supaya dijual dan hasil jualannya dijadikan hasil kerajaan.
Barang bukan kawalan pula diserahkan kepada KPDN untuk tujuan pelupusan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, Samat Mapiare @ Muparia, manakala tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Semporna, Mohammad Roli Aliman, menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan kawalan bekalan.
Katanya, tindakan itu selaras dengan komitmen KPDN untuk memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan.



