SANDAKAN: Agenda pembangunan wanita dan kesejahteraan rakyat Sabah perlu diperluaskan hingga ke peringkat daerah dan komuniti supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secara lebih menyeluruh.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan perkhidmatan, maklumat dan sokongan kerajaan dapat diakses masyarakat tanpa mengira lokasi.
Katanya, penganjuran Karnival Persona Wanita peringkat Daerah Sandakan membuktikan kepentingan membawa inisiatif pembangunan wanita lebih dekat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
“Agenda pembangunan wanita dan kesejahteraan rakyat tidak seharusnya tertumpu di ibu negeri, sebaliknya perlu dibawa lebih dekat kepada masyarakat di peringkat daerah,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan di sini, semalam.
Julita berkata, jabatan dan agensi berkaitan perlu meneruskan pendekatan turun padang bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan, khususnya kepada golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Katanya, ia termasuk wanita luar bandar, ibu tunggal, wanita daripada keluarga berpendapatan rendah, wanita kurang upaya, warga emas serta golongan penjaga.
“Setiap golongan mempunyai cabaran dan keperluan yang berbeza. Oleh itu, suara dan maklum balas masyarakat perlu diambil kira dalam menentukan program yang benar-benar diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi kebajikan dan kesihatan, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat serta pemimpin setempat bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih tersusun dan berkesan.
Dalam pada itu, Julita menggesa pertubuhan wanita dan pemimpin komuniti memainkan peranan lebih aktif dalam mengenal pasti isu yang dihadapi masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, golongan berkenaan juga boleh membantu menghubungkan individu yang memerlukan sokongan dengan agensi atau saluran bantuan yang bersesuaian.
“Pertubuhan wanita dan pemimpin komuniti boleh menjadi mata dan telinga kerajaan dengan mengenal pasti isu di lapangan serta menghubungkan mereka yang memerlukan bantuan kepada saluran yang betul,” katanya.
Menurut Julita, agenda pemerkasaan wanita juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi perhatian seimbang kepada aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan perlindungan.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan usaha meningkatkan kesejahteraan wanita tidak hanya tertumpu kepada satu aspek, sebaliknya merangkumi keperluan mereka dalam kehidupan seharian.



