HomeUtama600 sertai usaha perkukuh pemuliharaan gajah Borneo di Penangah

600 sertai usaha perkukuh pemuliharaan gajah Borneo di Penangah

Read Time:1 Minute, 34 Second

PENANGAH: Kira-kira 600 orang menyertai Sambutan Hari Gajah Sedunia Peringkat Mukim Penangah di Dewan Terbuka Penangah, hari ini, dalam usaha memperkukuh kesedaran dan kerjasama komuniti terhadap pemuliharaan gajah Borneo.

Program itu turut menjadi platform bagi komuniti, agensi kerajaan, pemimpin tempatan dan organisasi pemuliharaan berkongsi pengalaman serta memperkukuh usaha menangani konflik manusia-gajah bagi mewujudkan kehidupan yang lebih selamat dan harmoni.

Program dirasmikan Penolong Pegawai Daerah, Ronley Saringan, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Turut hadir wakil agensi kerajaan, ketua kampung, pemimpin masyarakat, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), kumpulan pengiring gajah dari sekitar Telupid dan Tongod serta pelajar sekolah sekitar Penangah.

Sambutan berkenaan dianjurkan sepenuhnya oleh Kumpulan Pengiring Gajah Maman, Penangah bersama Earthworm Foundation, dengan sokongan dan tajaan Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jetama, K2 Life, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Masiung Banah serta rakan konservasi lain.

Ketua Projek Earthworm Foundation, Juhana Johnny, berkata program berkenaan penting sebagai ruang untuk komuniti dan pelbagai pihak bertemu, berkongsi pengalaman serta memperkukuh kerjasama dalam menangani konflik manusia-gajah.

“Program seperti ini juga memberi ruang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat serta membina hubungan yang lebih harmoni antara manusia dan gajah Borneo, khususnya di Mukim Penangah dan daerah Tongod,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang 11 hingga 15 September, termasuk pertandingan melukis dan mewarna, sukaneka, bola sepak serta pameran berkaitan pemuliharaan gajah Borneo.

Juhana berkata, penglibatan aktif komuniti amat penting kerana penduduk setempat merupakan antara pihak yang paling dekat dengan gajah, selain mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang dapat membantu mengurangkan risiko konflik serta meningkatkan keselamatan manusia dan gajah.

Dalam ucapan yang dibacakan Ronley, Masiung menegaskan pemuliharaan gajah memerlukan kerjasama dan komitmen berterusan daripada komuniti, pemimpin tempatan, agensi kerajaan, sektor swasta serta organisasi pemuliharaan.

Kerjasama itu penting bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berkesan, sekali gus mewujudkan masa depan yang membolehkan manusia dan gajah Borneo hidup secara lebih harmoni dan selamat.

RELATED ARTICLES
Utama

Hari Malaysia: Hajiji ajak rakyat terus pelihara keamanan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular