HomeUtamaHari Malaysia: Hajiji ajak rakyat terus pelihara keamanan

Hari Malaysia: Hajiji ajak rakyat terus pelihara keamanan

Read Time:3 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji  Noor, mengajak seluruh rakyat Malaysia terus memelihara keamanan serta menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai titik tolak untuk bekerja lebih gigih demi memastikan kemajuan dan kemakmuran dapat dinikmati bersama.

Beliau berkata semangat perpaduan dan sikap saling menghormati antara kaum perlu terus menjadi keutamaan, khususnya di Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian tradisi, budaya dan kepercayaan.

“Di negeri Sabah, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum terus diberi keutamaan. Perbezaan tradisi dan budaya tidak menghalang rakyat negeri ini untuk terus hidup aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Malaysia ke-63 peringkat kebangsaan di Borneo Convention Centre Kuching, malam ini.

Menurut Hajiji, Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September merupakan detik bersejarah yang mengingatkan rakyat mengenai pembentukan sebuah negara berdaulat yang menghimpunkan pelbagai wilayah, bangsa, budaya dan agama dalam sebuah negara bernama Malaysia.

“Kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan Malaysia dan menyatukan kita sebagai sebuah keluarga. Marilah kita terus memupuk semangat muafakat, saling menghormati dan bekerjasama demi sebuah Malaysia yang aman, stabil dan sejahtera,” katanya.

Beliau turut berharap Malaysia, khususnya Sabah, akan terus menikmati keamanan dan kemakmuran bagi membolehkan negara bergerak lebih jauh serta mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

“Marilah kita meraikan sambutan Hari Malaysia ini dengan penuh semangat patriotisme agar keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama akan terus terpelihara dan berkekalan,” katanya.

Dalam pada itu, pada sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Hajiji menegaskan bahawa segala hak dan kepentingan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuangkan dan direalisasikan menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bersama Toh Puan Faridah Tussin.

Hajiji berkata, sambutan Hari Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia, khususnya berkaitan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas penting dalam hubungan antara Sabah dengan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri akan terus konsisten mempertahankan kepentingan dan hak Sabah menerusi saluran perlembagaan, rundingan serta kerjasama antara kerajaan.

“Kita percaya bahawa hubungan Persekutuan yang kukuh lahir daripada sikap saling menghormati, keadilan dan kesediaan menunaikan tanggungjawab yang telah dipersetujui.

“Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya.

Hajiji berkata, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, makna 16 September kekal besar kerana negara ini dibina atas persetujuan, kepelbagaian dan tekad untuk bergerak bersama sebagai sebuah Persekutuan yang berdaulat.

“Bagi kita di Sabah, tarikh 16 September ini amat bermakna kerana ia melahirkan ikatan persaudaraan yang kukuh dalam kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan.

“Kekuatan Malaysia terletak pada keharmonian rakyatnya dan Sabah sendiri adalah contoh kekuatan yang lahir daripada kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata budaya muafakat perlu terus dipelihara dan perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi jurang yang memisahkan masyarakat.

Dalam era media sosial, katanya, rakyat juga perlu lebih bijaksana dalam menilai maklumat, menolak fitnah dan sentimen yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta menggunakan teknologi untuk mendekatkan hubungan dan membuka peluang baharu.

Menurutnya, generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa semangat Hari Malaysia ke masa hadapan.

“Generasi muda perlu dibekalkan dengan ilmu, kemahiran, keyakinan dan ruang untuk mencipta. Pada masa sama, mereka harus mengenali sejarah, menghargai warisan dan memahami bahawa kemerdekaan serta pembentukan negara datang bersama tanggungjawab untuk menjaga keamanan, mengekalkan perpaduan dan kedaulatan,” katanya.

Hajiji berkata tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, membawa mesej jelas mengenai aspirasi kerajaan untuk memastikan hasil kemajuan, pembangunan dan kemakmuran negara dapat dirasai secara adil, inklusif dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau tempat tinggal.

“Dalam hal ini jelas bahawa kemajuan tidak memadai jika hanya kelihatan pada angka dan bangunan; sebaliknya kemajuan mesti dapat dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.

“Bagi Sabah, kesejahteraan juga bermaksud jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan, ketersambungan dipertingkat dan peluang ekonomi diperluas hingga ke akar umbi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kesejahteraan hanya dapat dikekalkan dalam suasana aman dan bersatu.

“Sebab itu perpaduan bukan sekadar slogan pada musim sambutan; perpaduan ialah prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak kita,” katanya.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri mahu Sabah terus maju dalam sebuah Malaysia yang sejahtera dan makmur, selain akan terus menyediakan persekitaran kondusif untuk pembangunan negeri.

“Kerajaan negeri akan terus memainkan peranan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan, termasuk memperkukuh infrastruktur, memperbaiki penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sambut Hari Malaysia dengan bersihkan dasar laut, 110kg sampah dikutip

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular