HomeUtamaPelajar baharu IPTA layak terima bantuan RM500 tiket penerbangan

Pelajar baharu IPTA layak terima bantuan RM500 tiket penerbangan

Read Time:1 Minute, 19 Second

KUCHING: Kerajaan MADANI bersetuju memberikan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan secara sekali beri (one-off) sebanyak RM500 kepada setiap pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak bagi sesi kemasukan September dan Oktober tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu meliputi pelajar baharu Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 7,095 pelajar yang memerlukan penerbangan untuk memulakan pengajian.

“Bantuan sebanyak RM500 ini akan disalurkan terus ke akaun bank pelajar yang layak bagi memudahkan keluarga menampung kos pembelian tiket penerbangan anak-anak tanpa melalui proses tuntutan yang membebankan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2026 di Kuching, malam ini.

Anwar berkata, perincian pelaksanaan bantuan itu akan diumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam masa terdekat.

Menurutnya, inisiatif berkenaan turut memperkukuh agenda FLYsiswa serta mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup, khususnya keluarga yang menanggung perbelanjaan tambahan apabila anak-anak melanjutkan pengajian merentasi wilayah.

Beliau berkata, jarak dan kos perjalanan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak Malaysia untuk mendapatkan pendidikan serta membina masa depan.

“Setiap anak, sama ada dari Semenanjung, Sabah, Sarawak atau Labuan, berhak mendapat peluang pendidikan yang sama.

“RM500 mungkin tidak menampung keseluruhan kos perjalanan, tetapi ia adalah bantuan nyata kerajaan untuk meringankan beban keluarga ketika anak-anak memulakan langkah penting dalam kehidupan mereka,” katanya.

Anwar berkata, bantuan itu menjadi antara ikhtiar kerajaan untuk mendengar suara rakyat, memahami beban yang dihadapi serta memastikan bantuan disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan.

RELATED ARTICLES
Utama

Gempa bumi lemah bermagnitud 3.7 dikesan di utara Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular