KUCHING: Kerajaan bersetuju menambah baik pelaksanaan BUDI Diesel dengan memperluas kemudahan pemindahan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan itu membolehkan pemindahan kelayakan tidak lagi terhad kepada ahli keluarga terdekat.
Menurutnya, pembeli kenderaan secara ‘sambung bayar’ juga boleh menikmati subsidi diesel selepas pemilik berdaftar menetapkan mereka sebagai pengguna sebenar.
“Selain itu, pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel dibenarkan memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan, tertakluk kepada maksimum tiga kenderaan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2026 di Kuching, malam ini.
Beliau berkata, sebagai contoh, sekiranya seorang bapa memiliki tiga kenderaan diesel, kelayakan bagi sebuah kenderaan boleh dipindahkan kepada isteri manakala sebuah lagi kepada anak.
“Setiap pengguna sebenar akan memperoleh manfaat subsidi bagi kenderaan yang digunakan,” katanya.
Anwar berkata, penambahbaikan berkenaan berkuat kuasa serta-merta dan permohonan boleh dibuat melalui Portal BUDI MADANI.



