PAITAN: Latihan ‘Tabletop Exercise’ (TTX) penting bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta keupayaan agensi berkaitan untuk bertindak pantas, teratur dan berkesan ketika berdepan situasi kecemasan atau bencana.
Pegawai Daerah Paitan, Joloning Joe Majambu berkata, latihan berkenaan memastikan setiap agensi mempunyai tahap persediaan mencukupi selain memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing sebelum sesuatu kejadian sebenar berlaku.
Katanya, TTX turut memberi peluang kepada agensi terlibat menguji keberkesanan komunikasi dan penyelarasan, termasuk aspek tindakan kecemasan, pemindahan mangsa, pengurusan keselamatan serta proses membuat keputusan dalam situasi kritikal.

“Latihan seperti ini amat penting bagi memastikan kita sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan atau bencana.
“Kita tidak seharusnya menunggu sesuatu kejadian berlaku sebelum mengambil tindakan. Sebaliknya, kita perlu bersedia lebih awal supaya tindakan yang diambil kelak dapat dilaksanakan dengan pantas, teratur dan berkesan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Siti Mazliza Majid pada Majlis Penutupan TTX dan Simulasi Bencana Kebakaran Kilang di salah sebuah premis di sini, baru-baru ini.
Joe berkata, sebarang kelemahan, kekangan dan perkara yang dikenal pasti sepanjang latihan perlu dijadikan pengajaran serta diambil tindakan susulan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Menurutnya, aspek prosedur operasi standard (SOP), sistem komunikasi, laluan keluar kecemasan, tempat berkumpul, peralatan keselamatan serta koordinasi antara agensi perlu sentiasa ditambah baik dan diperkemaskan.
“Dalam keadaan sebenar, setiap minit amat bermakna. Tindakan yang pantas dan tepat boleh menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kerosakan harta benda.
“Latihan secara simulasi ini diharap dapat memastikan setiap agensi lebih bersedia, cekap dan responsif dalam melaksanakan tindakan menyelamat serta mengurus mangsa sekiranya berlaku bencana sebenar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, Asisten Superintenden Polis Kusmass Enos berkata, TTX yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan lebih 20 jabatan dan agensi kerajaan di Daerah Paitan.

Katanya, pelaksanaan TTX turut menjadi platform untuk menilai keberkesanan mekanisme tindak balas sedia ada, selain memperkukuh kerjasama antara agensi dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan di daerah berkenaan.
“TTX dan Latihan Amali Bencana Kebakaran Kilang telah berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
“Latihan ini berjaya meningkatkan kefahaman peserta terhadap peranan dan tanggungjawab agensi, di samping memperkukuh aspek koordinasi, komunikasi serta perkongsian maklumat,” katanya.
Kusmass berkata, latihan itu turut membantu mengenal pasti tindakan awal yang perlu diambil, termasuk pengaktifan pusat kawalan, penilaian risiko, operasi pemadaman, penyelamatan, rawatan mangsa, pemindahan, kawalan lalu lintas, aspek keselamatan serta keperluan logistik.
Bagaimanapun, katanya, beberapa aspek masih memerlukan penambahbaikan, khususnya dari segi komunikasi, pengemaskinian maklumat berkaitan mangsa dan aset, penjelasan peranan setiap agensi, penggunaan peralatan keselamatan serta penyediaan laporan.
“Keselamatan peserta dan petugas hendaklah sentiasa diberikan keutamaan sepanjang pelaksanaan latihan.
“Secara keseluruhannya, latihan ini telah dilaksanakan dengan berkesan dalam mengenal pasti kekuatan serta jurang kesiapsiagaan. Dapatan tersebut boleh dijadikan asas bagi menambah baik SOP, pelan tindakan kecemasan dan prosedur pengurusan bencana,” katanya.



