HomeUtamaBekalan gas Sabah hampir dua kali ganda menjelang 2030

Bekalan gas Sabah hampir dua kali ganda menjelang 2030

Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Bekalan gas Sabah dijangka meningkat hampir dua kali ganda daripada 700 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) kepada 1,350 MMscfd menjelang 2030, susulan pelaksanaan tujuh projek pembangunan luar pesisir dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkembangan itu mencerminkan potensi besar Sabah dalam membangunkan industri minyak dan gas, selain memastikan bekalan tenaga mencukupi bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian negeri.

“Daripada apa yang saya dapat taklimat, nampak kita mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri minyak dan gas di Sabah pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan penyerahan laporan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 serta Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah di sini, hari ini.

Laporan berkenaan diserahkan oleh pihak SMJ Energy (SMJE) dan PETRONAS kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.

Pelan itu menggariskan strategi jangka panjang bagi memastikan bekalan gas mencukupi untuk memenuhi peningkatan permintaan tenaga dan industri di Sabah.

Berdasarkan laporan berkenaan, permintaan tambahan gas akan didorong oleh pembangunan loji janakuasa baharu serta kemudahan gas asli cecair terapung ketiga PETRONAS (PFLNG3).

Ia turut mengambil kira pelaburan baharu dalam sektor pembuatan di sepanjang koridor Pantai Barat, bermula dari Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang hingga terminal gas di Labuan.

Sementara itu, Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah mengesahkan kelompok medan gas Mutiara di luar pesisir Sandakan berpotensi dibangunkan bagi membekalkan gas kepada loji janakuasa gas baharu di Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan.

Ia juga membolehkan stesen janakuasa Sabah Electricity di Batu Sapi ditukar daripada penggunaan diesel kepada turbin berasaskan gas.

Hajiji berkata, pembangunan itu akan membolehkan Pantai Timur menjana bekalan elektrik berasaskan gas sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran bekalan dari Pantai Barat.

Menurutnya, strategi berkenaan turut membuka peluang kepada pembangunan industri berasaskan gas di Sandakan dan kawasan Pantai Timur.

Menjawab soalan mengenai aktiviti penerokaan minyak dan gas di kawasan Selatan Sabah, Hajiji berkata penerokaan di kawasan berkenaan bukan kurang, sebaliknya dijalankan lebih lewat berbanding kawasan Pantai Barat.

Beliau berkata, kajian turut sedang dijalankan di kawasan Pantai Timur dan beberapa penemuan minyak serta gas telah dikenal pasti, termasuk Mutiara Cluster.

“Mereka sekarang sedang menjalankan kajian di sebelah Pantai Timur dan ada juga telaga minyak dan gas yang telah diperoleh di sana, iaitu Mutiara Cluster dan ada lagi yang lain.

“Insya-Allah, bukan sahaja di sana tetapi mereka juga akan meneroka kawasan daratan,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS yang menerajui kerja teknikal berkenaan dengan kerjasama SMJ Energy (SMJE), Sabah Energy Corporation (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi SMJ Energy, serta Ketua Pegawai Operasi merangkap Naib Presiden Eksekutif SMJ Energy, Datuk Albert Lo.

RELATED ARTICLES
Utama

Najib diberi pengampunan bersyarat, jalani baki hukuman di rumah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular