HomeUtamaNajib diberi pengampunan bersyarat, jalani baki hukuman di rumah

Najib diberi pengampunan bersyarat, jalani baki hukuman di rumah

Read Time:1 Minute, 9 Second

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak diperkenankan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan Lembaga Pengampunan.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.

Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib.

Pengampunan bersyarat itu menetapkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, dengan syarat beliau membayar denda sebanyak RM50 juta.

“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan itu.

Keputusan berkenaan dibuat selepas Lembaga Pengampunan mengadakan mesyuarat kali ke-64 pada Jumaat.

Sebelum ini, permohonan pengampunan Najib menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu, apabila pertimbangannya ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.

Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes SRC International.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan sebelum ini memutuskan pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap Najib, dengan jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta serta tarikh pembebasan awal ditetapkan pada 23 Ogos 2028. SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bekalan gas Sabah hampir dua kali ganda menjelang 2030

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular