Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Hasrat seorang wanita berusia 55 tahun menguruskan gantian kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah membawa kepada penahanannya selepas dia didapati memiliki kad pengenalan palsu.
Jamilah Akrim kemudian dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Mahkamah turut memerintahkan Jamilah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan, Jamilah tanpa kuasa yang sah memiliki sekeping Kad Pengenalan Plastik (KPP) palsu atas namanya kira-kira jam 11.30 pagi pada 10 September lalu di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Sabah.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, Jamilah hadir ke Bahagian Kad Pengenalan, JPN Sabah Sabah dengan mengemukakan KPP beliau untuk merujuk dan membuat gantian kad pengenalan tersebut.
Bagaimanapun, semakan awal oleh pegawai JPN mendapati kad pengenalan berkenaan tidak wujud dalam rekod sistem jabatan itu, menyebabkan Jamilah ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu.
Semakan lanjut terhadap kedua-dua cap ibu jarinya turut mendapati ia tidak merujuk kepada mana-mana rekod dalam sistem JPN.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohamad Faizal Tahir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, JPN Sabah dalam kenyataan menegaskan komitmennya untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri bagi memastikan integriti sistem pendaftaran negara terus terpelihara serta mencegah penyalahgunaan dokumen berkenaan.



