HomeUtama400 liter diesel, Toyota Hilux dirampas bernilai RM65,108

400 liter diesel, Toyota Hilux dirampas bernilai RM65,108

Read Time:1 Minute, 20 Second

TAWAU: Sebanyak 400 liter minyak diesel dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan di kawasan Jalan Kalabakan, di sini, baru-baru ini.

Rampasan itu dilakukan dalam Op Taring Landai Khas sebelum diserahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

Turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

KPDN Sabah memaklumkan, nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel dan kenderaan terbabit dianggarkan berjumlah RM65,108.

Kes berkenaan dipercayai membabitkan pelanggaran syarat permit bagi barang kawalan berjadual apabila pengisian minyak diesel dilakukan melebihi had maksimum yang dibenarkan.

Susulan rampasan itu, KPDN Sabah telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan.

KPDN dalam pada itu memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan dan tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyelewengan atau penyalahgunaan barang kawalan.

Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan.

KPDN turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkannya menerusi portal e-Aduan KPDN atau menghubungi KPDN Tawau di talian 089-776690.

Aduan pengguna turut boleh disalurkan menerusi WhatsApp di 019-2794317 atau 019-8488000. SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dua lelaki ditahan, syabu 62.14 gram dirampas di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular