KOTA KINABALU: Program Borak dan Busking anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah menjadi platform penyampaian maklumat secara santai sambil menikmati keindahan matahari terbenam di Pantai Tanjung Aru, di sini.
Pengarah JAPEN Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, pemilihan Pantai Tanjung Aru sebagai lokasi program kali ini antara lain bertujuan mempromosikan kawasan berkenaan sebagai antara lokasi menarik untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia.
Katanya, JAPEN Sabah sentiasa memperkasakan kaedah penyampaian maklumat kepada masyarakat menerusi pendekatan lebih santai dan interaktif, termasuk konsep infotainment yang menggabungkan penyampaian informasi dengan hiburan.
“JAPEN Sabah sentiasa memperkasakan kaedah penyampaian maklumat kepada masyarakat, antaranya melalui konsep infotainment, di mana kita berkongsi maklumat dan informasi dalam suasana yang santai, namun pada masa sama pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan daripada PENTARAMA JAPEN Sabah.
“Pada program kali ini, kami menjemput wakil Tanjung Aru Eco Development untuk menyampaikan perkongsian mengenai tanggungjawab menjaga keselamatan dan kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Borak dan Busking Bersama PENTARAMA JAPEN Sabah di Pantai Tanjung Aru, di sini, pada Sabtu.
Menurut Jainisah, pendekatan penyampaian maklumat menerusi program berkenaan turut mengambil kira kehadiran pengunjung tempatan dan pelancong dari pelbagai latar belakang.
Katanya, lagu dan penyampaian maklumat disampaikan dalam pelbagai bahasa bagi memastikan mesej yang dibawa dapat difahami oleh lebih ramai pengunjung.
“Program ini diadakan di lokasi tumpuan pelancong, jadi lagu dan penyampaian maklumat turut disampaikan melalui pelbagai bahasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan turut mendapat kerjasama rakan strategik di bawah Kementerian Komunikasi, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pos Malaysia dan TM Unified Business.
Katanya, agensi berkenaan turut membuka kaunter perkhidmatan masing-masing bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat serta perkhidmatan secara terus di lokasi program.
Jainisah berkata, kerjasama dan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta agensi-agensi pelancongan negeri turut membantu memperluaskan keberkesanan penyampaian maklumat kepada masyarakat melalui pelbagai platform.
“Sambutan yang positif pada hari ini, selain dua lokasi sebelum ini, menunjukkan pendekatan seperti ini mendapat penerimaan masyarakat.
“JAPEN Sabah akan merancang untuk mengadakan pendekatan yang serupa di lokasi tumpuan awam lain pada masa akan datang,” katanya. – JAPEN SABAH / FOTO SABAH MEDIA



