HomeUtamaIsu kesihatan Sabah terus dibawa melalui mekanisme MA63

Isu kesihatan Sabah terus dibawa melalui mekanisme MA63

Read Time:2 Minute, 1 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Isu berkaitan keperluan dan pembangunan sektor kesihatan di negeri ini akan terus dibawa ke peringkat Persekutuan menerusi mekanisme Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki berkata, kerjasama dan penyelarasan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan penting bagi memastikan perkara yang menjadi keutamaan Sabah dapat diberi perhatian serta tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, meskipun bidang kesihatan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri sentiasa memainkan peranan melalui penyelarasan dan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengetengahkan keperluan rakyat di negeri ini.

“Walaupun kesihatan ini memang tanggungjawab Persekutuan, tanggungjawab kita di sini adalah untuk membuat penyelarasan dan bekerjasama supaya hal-hal yang kita fikir penting dan perlu diberi keutamaan di peringkat negeri dapat kita bawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program kesedaran Vascular anjuran Hospital Queen Elizabeth II (HQE2), di sini pada Isnin.

Julita berkata, isu kesihatan turut menjadi antara perkara yang dibincangkan menerusi mekanisme MA63, selain diusahakan penyelesaiannya melalui jawatankuasa berkaitan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, sebahagian isu berkenaan dilihat boleh diselesaikan melalui Jawatankuasa Teknikal, manakala perbincangan dengan KKM turut dilakukan menerusi Jawatankuasa Kerja Bersama.

“Hubungan kedua pihak kita memang dari awal tahun sehingga yang baru-baru ini adalah yang terakhir dipengerusikan induk, dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata keperluan peralatan perubatan yang agak usang di Sabah turut menjadi antara perkara yang telah dibangkitkan dalam perbincangan bersama KKM.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja Bersama bersama KKM yang diadakan pada bulan lalu dan dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan, dengan kerajaan Sabah turut dihadiri beliau dalam perbincangan berkenaan.

“Isu mengenai keperluan peralatan perubatan yang agak usang di sini juga telah kita utarakan dan telah juga kita bincang di bawah Jawatankuasa Kerja Bersama dengan Kementerian Kesihatan yang kita baru adakan pada bulan lepas,” katanya.

Beliau berkata, keperluan yang dibangkitkan kerajaan negeri bukan tidak diketahui oleh Kerajaan Persekutuan, sebaliknya proses sedang berjalan bagi memastikan keutamaan yang telah dikenal pasti dapat diambil tindakan.

“Keperluan-keperluan kita itu bukan tidak diketahui, tetapi kita sedang dalam proses untuk memastikan supaya keutamaan-keutamaan yang telah kita utarakan itu dapat diambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan KKM dalam menangani isu berkaitan sektor kesihatan, khususnya perkara yang memerlukan penyelarasan serta tindakan bersama.

Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan keperluan rakyat Sabah dalam aspek kemudahan, peralatan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan terus diberi perhatian. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pengurusan sisa Sabah perlu ikut realiti setiap daerah – Azizah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular