KOTA KINABALU: Sokongan berterusan masyarakat, sektor korporat dan organisasi amat penting bagi memastikan perkhidmatan penjagaan paliatif dapat terus disediakan kepada golongan yang memerlukan di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, sokongan berkenaan amat diperlukan bagi membantu pesakit yang menghidap penyakit mengancam nyawa serta keluarga mereka, khususnya dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan yang disediakan Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu (PCAKK).
Menurutnya, dari perspektif perubatan dan kesihatan awam, keperluan terhadap penjagaan paliatif adalah besar dan terus meningkat.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 56.8 juta penduduk di seluruh dunia memerlukan penjagaan paliatif setiap tahun, termasuk kira-kira 25.7 juta orang yang berada pada tahun terakhir kehidupan mereka.
“Sebahagian besar keperluan penjagaan paliatif melibatkan negara berpendapatan rendah dan sederhana, manakala permintaan terhadap perkhidmatan itu dijangka terus meningkat seiring dengan penuaan penduduk serta peningkatan penyakit tidak berjangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal dan Konsert Tahunan Ke-27 PCAKK 2026 di sini.
Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata, penjagaan paliatif bukan sekadar perkhidmatan sampingan, sebaliknya merupakan komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Katanya, perkhidmatan itu bukan sahaja membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga, malah dapat mengurangkan kemasukan ke hospital yang tidak diperlukan serta tekanan terhadap sistem perkhidmatan kesihatan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap program penjagaan paliatif di rumah yang diselaraskan PCAKK kerana membolehkan pesakit menerima penjagaan dan keselesaan dalam persekitaran kediaman sendiri.
“Program ini juga membolehkan pesakit menjalani kehidupan dengan lebih bermaruah, selain memberikan sokongan kepada ahli keluarga yang menjaga mereka.
“Walaupun pada satu tahap rawatan untuk menyembuhkan mungkin tidak lagi dapat dilakukan, penjagaan, keselesaan, maruah dan sifat belas ihsan perlu sentiasa diberikan,” katanya.
Sehubungan itu, Joachim menggalakkan individu, syarikat korporat dan organisasi untuk terus menyalurkan sumbangan bagi membolehkan perkhidmatan PCAKK dikekalkan dan diperluaskan kepada lebih banyak keluarga yang memerlukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden PCAKK, Dr Jaswant Singh, barisan jawatankuasa, doktor, jururawat, kakitangan, sukarelawan, penderma serta penyokong persatuan atas dedikasi dan khidmat mereka dalam membantu pesakit serta keluarga yang memerlukan penjagaan paliatif.



