SEMPORNA: Seorang lelaki berusia 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes pencerobohan dan mencabul seorang wanita di sebuah resort di Jalan Kamiri, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi, 19 September 2026.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa, seorang wanita warganegara China berusia 25 tahun, sedang tidur di dalam bilik penginapan sebelum tersedar dan mendapati seorang lelaki berada di dalam bilik berkenaan.
“Suspek dipercayai memegang tangan mangsa dan menanggalkan sebahagian pakaian mangsa sebelum berlaku pergelutan.
“Mangsa kemudian berjaya melarikan diri dari bilik berkenaan dan bersembunyi di kawasan semak berhampiran sebelum ditemui seorang pekerja resort pada waktu pagi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tan berkata, ketika melarikan diri, mangsa turut mendakwa rambutnya ditarik suspek sehingga menyebabkan dia terjatuh.
Susulan maklumat diterima dan hasil siasatan awal, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan suspek di kawasan resort kira-kira jam 8 malam, 19 September 2026.
“Suspek kemudian dibawa ke IPD Semporna bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana siasatan masih dijalankan.
“Polis Daerah Semporna memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional,” tegasnya.



