TAMBUNAN: Kerajaan akan memastikan penjaja dan peniaga kecil di negeri ini terus berkembang maju seperti sebelum wabak COVID-19 melanda.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata beliau menyedari bahawa sejak dua tahun lalu sukar bagi perniagaan kecil malah ramai yang terpaksa menutup kedai kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan dilaksanakan ketika kerajaan memerangi penularan virus itu.
“Sekarang sektor ekonomi telah dibenarkan dibuka semula, kita semua boleh bernafas lega.
“Justeru, acara hari ini adalah bertujuan untuk memulakan aktiviti komersial di daerah ini dan membantu perniagaan tempatan kita dengan cara yang terbaik,” katanya pada perasmian acara Tamu Besar Tambunan, di sini, hari ini.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata, acara itu adalah inisiatif kerajaan untuk menguji keadaan dan perlahan-lahan memudahkan orang ramai kembali menjalani kehidupan seperti biasa, walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) masih berkuat kuasa.
“Kita mahu memulihkan ekonomi domestik kita dengan pesat tetapi harus ingat bahawa wabak itu belum berakhir dan kesihatan awam mesti kekal sebagai keutamaan kita pada setiap masa,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey berkata, pejabatnya berdedikasi untuk menjadikan Tambunan sebagai hab penting untuk pertanian dan pelancongan di Sabah. Ini kerana daerah ini dikurniakan tanah yang subur dan sumber asli yang unik yang tidak terdapat di daerah lain.
Dalam pada masa yang sama, Jeffrey turut menyatakan mengenai peningkatan dalam jumlah ternakan yang berkeliaran di jalan awam selain dalam beberapa kes mengakibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa serta harta benda.
“Susulan dengan perkara itu, saya menyokong penuh keputusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menangkap kesemua ternakan yang ditinggalkan pemiliknya di jalan raya sebagai pengajaran untuk menjaga harta benda mereka dengan lebih baik,” tegasnya.
Beliau berkata, langkah itu akan memastikan Tambunan bersih ketika daerah itu bersiap sedia untuk menyambut kedatangan semula pelancong pada tahun depan.