Hujan Berterusan Dijangka Melanda Lima Negeri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU : Hujan berterusan dijangka akan melanda lima buah negeri sehingga 2 Januari depan disebabkan angin bertiup dari arah timur laut yang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, keadaan cuaca buruk yang diramal melanda beberapa kawasan di timur negeri Sabah pada Selasa dijangka berterusan sehingga 2 Januari nanti.

Menurut kenyataan itu, kawasan yang terlibat di Sabah ialah Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

“Sementara di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor juga diramal menerima hujan lebat secara berterusan bermula 30 Disember sehingga 1 Januari depan.

“Ia melibatkan kawasan di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai); Terengganu; Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Mersing),” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.

Selain itu, angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah diramal berterusan sehingga 2 Januari depan.

Semalam, Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, luruan monsun yang sedang melanda negara ketika ini dijangka akan berterusan sehingga 3 Januari depan.

Ia berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca, Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD-WRF); Pusat Eropah untuk Ramalan Cuaca Julat Sederhana (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *