HomeUtamaPendidikan pelaburan masa depan Sabah – Azizah

Pendidikan pelaburan masa depan Sabah – Azizah

Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Pendidikan perlu terus menjadi keutamaan dalam pembangunan Sabah kerana ia merupakan pelaburan penting bagi melahirkan modal insan berpendidikan dan berkemahiran tinggi, kata Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata, pencapaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menyalurkan lebih RM40.16 juta kepada 27,781 penerima bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026 membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan anak-anak Sabah.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 sahaja, seramai 11,383 penerima menerima manfaat membabitkan peruntukan kira-kira RM15.89 juta.

“Pendidikan adalah pelaburan yang amat penting untuk Sabah Maju Jaya. Tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri atas usaha yang memberi manfaat kepada anak-anak Sabah serta masa depan negeri.

“Pembangunan Sabah bukan hanya mengenai pembinaan jalan dan jambatan, tetapi turut melibatkan pembangunan modal insan melalui pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizah berkata, usaha berkenaan turut diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif pendidikan termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), BUDI, BAIK, BAKTI, GRS-SUBFLY dan SENTOSA.

Menurutnya, bantuan tersebut amat penting khususnya kepada keluarga berpendapatan rendah serta pelajar dari luar bandar dan pedalaman bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pendidikan.

“Kita membina infrastruktur untuk pembangunan hari ini, tetapi melalui pendidikan kita membina generasi yang akan menentukan masa depan Sabah.

“Setiap ringgit yang dilaburkan dalam pendidikan anak-anak Sabah adalah pelaburan untuk masa depan Sabah Maju Jaya, insya-Allah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

TPNS salur RM40 juta bantuan pendidikan, manfaat 27,781 pelajar Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular