KOTA KINABALU: Penyelarasan antara Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah dan Kementerian Kewangan (MOF) Sabah penting bagi memastikan pelaksanaan projek serta perkara keutamaan kementerian berkenaan dapat dilaksanakan secara teratur dan memberi manfaat kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu dibincangkan dalam perjumpaan khas bersama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar di Bilik Mesyuarat MOF Sabah di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, perbincangan itu turut meneliti status semasa pelaksanaan projek di bawah MAFFI serta mengenal pasti perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.
“Penyelarasan antara MAFFI dan MOF Sabah penting bagi memastikan perkara yang dikenal pasti dapat dilaksanakan secara teratur serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Masidi berkata, pembangunan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, selain menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, kerjasama erat antara kementerian dan agensi berkaitan perlu diperkukuh supaya setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri Sabah kekal komited menjadikan sektor agromakanan sebagai pemacu penting dalam memperkukuh ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.



