KOTA KINABALU: Seramai 156 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan hasil kira-kira 15 operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di lima daerah dalam tempoh empat hari.
Operasi bermula 22 hingga 25 September itu dijalankan di pelbagai lokasi strategik di Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Kudat dan Ranau dalam usaha membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
JIM Sabah dalam kenyataan berkata, seramai 322 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan sebelum 156 daripadanya ditangkap dan ditahan.
Daripada jumlah itu, 140 adalah warga Filipina, terdiri daripada 40 lelaki dewasa, 40 perempuan dewasa, 38 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan 11 warga Indonesia membabitkan empat lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan, selain lima lelaki dewasa warga Pakistan.
JIM Sabah berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Sebarang kegiatan PATI boleh dilaporkan melalui saluran rasmi JIM Sabah menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO).



