KOTA KINABALU: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 berlaku di Kuamut, Kinabatangan, Sabah pada jam 5.32 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan gempa bumi itu dikesan pada koordinat 5.1 darjah Utara dan 116.8 darjah Timur.
Menurutnya, gempa berkenaan berpusat kira-kira 34 kilometer barat daya Tongod, Sabah dan 223 kilometer barat laut Tarakan, Indonesia.
“Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 118 kilometer,” menurut kenyataan itu di sini pada Sabtu.
METMalaysia turut memaklumkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian berkenaan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan aktiviti gempa bumi melalui portal rasmi METMalaysia dan sistem myGempa.



