Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Penerbitan karya dalam bahasa etnik Sabah perlu diperbanyak bagi memastikan bahasa berkenaan terus hidup dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, lebih ramai penulis muda juga perlu digalakkan, selain cerita rakyat didokumentasikan, pengetahuan tradisional dirakamkan dan bahan bacaan berkualiti disediakan untuk generasi akan datang.
“Kita mahu melihat lebih banyak karya diterbitkan dalam Bahasa Kadazandusun. Kita juga berharap usaha yang sama dapat diperluaskan kepada bahasa-bahasa etnik lain di Sabah.
“Lebih ramai penulis muda harus digalakkan. Lebih banyak cerita rakyat perlu didokumentasikan. Lebih banyak pengetahuan tradisional perlu dirakamkan.
“Dan lebih banyak bahan bacaan berkualiti perlu disediakan untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Borneo Cultural & Heritage Corner (BCHC) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 di SICC, di sini, pada Jumaat.
Pada majlis sama, Pairin turut melancarkan 25 tajuk buku kanak-kanak dalam Bahasa Kadazandusun, hasil kerjasama Jabatan Bahasa Kadazandusun, IPG Kampus Kent, Tuaran dan Kadazandusun Language Foundation (KLF), dengan penglibatan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun serta bimbingan para pensyarah.
Pairin berharap penerbitan 25 tajuk berkenaan bukan suatu noktah, sebaliknya menjadi permulaan kepada gerakan lebih besar.
Menurutnya, usaha itu mungkin kelihatan sederhana dalam bentuknya, tetapi besar maknanya kepada masa depan bahasa.
“Sekiranya kita mahu sesuatu bahasa terus hidup, bahasa itu bukan sahaja perlu diajar, bahasa itu mesti digunakan.
“Ia mesti digunakan di rumah, di sekolah, dalam penulisan, dalam pembacaan, dalam komunikasi dan dalam kehidupan seharian.
“Dan usaha itu perlu bermula sejak kecil,” katanya.
Pairin berkata, kanak-kanak perlu mempunyai bahan bacaan yang dapat mereka fahami, nikmati dan banggakan dalam bahasa mereka sendiri.
“Apabila seorang kanak-kanak membaca cerita dalam bahasa ibundanya, dia bukan sekadar mempelajari perkataan.
“Dia sedang mengenali dunia melalui bahasa dan budaya yang menjadi sebahagian daripada identitinya,” katanya.
Menurutnya, buku kanak-kanak bukan sahaja membantu meningkatkan minat membaca, malah menjadi jambatan yang menghubungkan bahasa, budaya, pendidikan dan pembentukan identiti generasi muda.
Pairin berkata, generasi muda sering dianggap sebagai pewaris bahasa dan budaya, namun perlu dipastikan terlebih dahulu ada sesuatu yang dapat diwariskan kepada mereka.
“Kita perlu meninggalkan kepada mereka bukan sahaja bangunan atau harta benda, tetapi juga bahasa, sejarah, cerita, nilai, pengetahuan dan jati diri,” katanya.
Mengenai BCHC, Pairin berkata, ia sebuah ruang yang mempertemukan ilmu, bahasa, pendidikan, sejarah, budaya dan warisan Borneo di bawah satu wadah.
Beliau berharap BCHC dapat berkembang sebagai platform yang menghimpunkan penulis, penerbit, pendidik, penyelidik, institusi, penggiat budaya serta masyarakat umum dalam usaha memperkukuh dokumentasi dan penyebaran ilmu berkaitan Borneo.
“Semoga BCHC terus berkembang sebagai ruang ilmu dan pertemuan budaya yang mampu memperkenalkan kekayaan Borneo kepada masyarakat yang lebih luas.
“Semoga juga usaha yang kita mulakan hari ini menjadi sebahagian daripada perjalanan yang lebih besar dalam memastikan bahasa kita terus dituturkan, budaya kita terus diamalkan, sejarah kita terus dikenang dan warisan kita terus diwariskan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah KLF, Datuk Philip Lasimbang, dan Pengarah IPG Kampus Kent, Tuaran; Dr. Norafidah binti Noralidin.



