HomeUtamaHASiL catat kutipan lebih RM200 bilion, tertinggi dalam sejarah

HASiL catat kutipan lebih RM200 bilion, tertinggi dalam sejarah

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: HASiL mencatat kutipan melebihi RM200 bilion pada tahun lalu, pencapaian tertinggi sejak penubuhan agensi itu 30 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, berkata pencapaian berkenaan mencerminkan pelbagai perubahan dan kejayaan yang dicapai HASiL sepanjang tempoh tiga dekad penubuhannya.

Beliau berkata kejayaan HASiL bukan sahaja bergantung kepada inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan, malah turut disokong kerjasama pengamal media dalam menyampaikan maklumat percukaian kepada masyarakat.

“Sepanjang tempoh 30 tahun ini pelbagai perubahan dan kejayaan telah dapat dijayakan oleh HASiL. Tahun lepas, HASiL buat pertama kalinya berjaya mencatat kutipan melebihi RM200 bilion.

“Itu merupakan pencapaian tertinggi HASiL,” katanya.

Dr. Abu Tariq menyampaikan sijil penghargaan kepada wartawan Sabah Media Normimie Diun sambil diperhati Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Khairul Halimin Abdul Halim (kiri) semasa majlis itu. – Foto Sabah Media/ Alexter Rosalia

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Jumaat.

Menurut Abu Tariq, penyampaian maklumat percukaian yang tepat dan jelas amat penting bagi meningkatkan kefahaman serta keyakinan rakyat terhadap tanggungjawab membayar cukai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media di Sabah atas peranan menyampaikan mesej percukaian kepada pembayar cukai di negeri ini.

Dalam pada itu, Abu Tariq berkata pelaksanaan e-Invois turut menunjukkan perkembangan positif dengan hampir 165,000 pembayar cukai mengambil bahagian setakat ini.

Katanya, HASiL juga telah menerima lebih dua bilion e-Invois sejak pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Beliau berkata penyampaian maklumat yang tepat mengenai e-Invois perlu diteruskan bagi membantu pembayar cukai memahami pelaksanaan serta manfaat inisiatif tersebut.

“Walaupun ada pandangan yang sedikit negatif berhubung pelaksanaan e-Invois, saya percaya jika mesej yang tepat disampaikan kepada pembayar cukai, inisiatif penting ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Kita yakin inisiatif ini adalah inisiatif yang baik dan kita harap media akan terus membantu HASiL memberi penjelasan berhubung pelaksanaannya,” katanya.

Abu Tariq berkata kerjasama berterusan antara HASiL dan media penting bagi memastikan sebarang inisiatif serta maklumat berkaitan percukaian dapat disampaikan kepada pembayar cukai secara tepat dan segera. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

HASiL perkasa jenama korporat, lancar Bulan HASiL Oktober ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular